KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan penerima-penerima vaksin Astrazeneca agar memantau kesihatan masing-masing.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, langkah itu perlu bagi memastikan mereka yang menghadapi gelaja tertentu akan mendapat rawatan segera.
“Mereka perlu mendapatkan rawatan segera jika mengalami gejala-gejala berikut dalam masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksin AstraZeneca, iaitu sakit kepala yang teruk tidak berkurangan dengan ubat tahan sakit ataupun ianya semakin teruk.
“Sakit kepala semakin teruk apabila berbaring atau semasa membongkok, sakit kepala luar biasa disertai dengan, pandangan kabur, loya dan muntah, sukar bertutur, lemah, mengantuk atau sawan.
“Timbul bintik-bintik kecil pada kulit, lebam atau berlaku pendarahan, dan sukar bernafas, sakit dada, bengkak pada kaki atau sakit perut yang berterusan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sekiranya terdapat kes gejala tertentu, Adham berkata, pegawai perubatan perlu membuat siasatan samada kes telah menerima vaksin dalam masa 30 hari sebelum gejala bermula.
“Pengamal perubatan juga perlu membuat pemeriksaan lanjut untuk mengesahkan samada gejala yang ditunjukkan adalah disebabkan pembekuan darah.
“Sehubungan dengan itu pemeriksaan-pemeriksan berkaitan termasuk pemeriksaan darah dan radiologi perlu dijalankan dengan seberapa segera. Rawatan serta merta perlu diberikan jika keputusan ujian menunjukkan pembekuan darah benar-benar berlaku,” katanya.
Justeru itu, pakar hematologi (hematologist) perlu dihubungi dengan segera untuk mendapatkan khidmat nasihat.
Malah pengamal perubatan juga perlu membuat laporan Adverse Event Following Immunisation (AEFI) kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Dalam pada itu, Adham berkata, data-data klinikal di United Kingdom dan Amerika Syarikat menunjukkan vaksin AstraZeneca sangat berkesan terutamanya untuk mencegah jangkitan Covid-19 yang teruk, kes yang memerlukan kemasukan wad dan kematian.
“Badan regulatori antarabangsa termasuk UK dan European Medicine Agency (EMA) juga mengesahkan vaksin tersebut sangat berkesan dan faedahnya dalam mencegah jangkitan Covid-19 adalah mengatasi risiko (benefit outweigh the risk) daripada pengambilan vaksin,” katanya lagi.
Vaksin Astrazeneca dijadualkan mula diberikan kepada orang ramai mulai esok. – MalaysiaGazette