Home Nasional Noor Haqim teruskan kecemerlangan UiTM dalam PABM

Noor Haqim teruskan kecemerlangan UiTM dalam PABM

Johan Kategori Antarabangsa, Lisa Shimazaki (tengah), Johan Kategori Alam Melayu, Noor Haqim Noor Hamiddon (kanan) dan Johan Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia, Hassan Radwan Jamal Elatrash (kiri) bergambar bersama Piala yang dimenangi mereka pada Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 JULAI 2017

PUTRAJAYA – ‘Pesan Seniman’ tentang Cinta, ‘Cari aku dalam kamu.. Cari kamu dalam aku’.

Itulah tajuk yang mengangkat Noor Haqim Noor Hamiddon, 21, dari Rawang, Selangor sebagai Johan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2017.

Haqim yang bertanding mewakili Malaysia dalam kategori Alam Melayu berjaya mengenepikan pesaing dari Singapura, Ahmad Aidil Hadri Sa’dullah.

“Saya sebenarnya minat seni dan muzik, ramai yang pandang enteng tentang seni. Bagi saya, saya dapat merasai cinta yang disampaikan setiap seni tidak kisah apa jua bentuk seni.

Noor Haqim Noor Hamiddon

“Apabila menaiki pentas sebagai peserta akhir, saya dapat menilai dua peserta dari kategori saya untuk memberikan pidato terbaik dan merangkul juara,” katanya kepada MalaysiaGazette di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini semalam.

Lebih manis lagi pelajar tahun akhir jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berjaya meneruskan kesinambungan kecemerlangan institusi pengajian tinggi itu sebagai johan untuk kali kedua selepas menjuarai kategori sama tahun lalu.

Dengan kemenangan itu, Haqim membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, Piala Pusingan, Piala Iringan, Piala Perdana Menteri dan sijil penyertaan.

Ditanya apa yang akan dilakukan dengan hadiah yang dimenanginya itu, Haqim berkata, beliau akam membawa ibubapanya menunaikan umrah.

Haqim memberitahu, penampilan sulung pada pertandingan kali ini yang dibimbing juara tahun lalu banyak membantu beliau selain pengalaman berpidato di beberapa tempat lain sebelum ini.

“Saya banyak berdepan kekangan untuk bersiap ke pertandingan ini kerana saya sedang melalui peperiksaan semester akhir jurusan undang-undang.

“Pun begitu saya berjaya mengharungi walaupun peserta lain tidak kurang hebat berpidato dengan bersemangat,” katanya.

Sementara itu juara kategori Pelajar Antarabangsa dari Tokyo, Jepun, Lisa Shimazaki, 21 berkata, beliau tidak menyangka muncul juara pada penampilan sulung.

 

 

Lisa Shimazaki

“Ini kerana walaupun saya walapun fasih bahasa Jepun, Inggeris dan Sepanyol, Bahasa Melayu hanya dipelajari di kampus di Jepun dengan dorongan pensyarah saya, Puan Faridah sejak tiga tahun lalu.

“Malah bimbingan johan kategori ini dari Jepun tahun lepas juga berjaya memberi inspirasi untuk mempertahankan piala Perdana Menteri milik Jepun kali ini,” katanya yang mambawa pulang wang tunai RM20,000 beserta piala pusingan dan piala iringan beserta Piala Perdana Menteri serta sijil penyertaan.

Lisa berkata, dia gemar merujuk buku-buku Bahasa Melayu selain menonton filem atau drama Melayu bila mempunyai masa lapang dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa itu.

“Saya dapat melihat kesantunan dan keindahan estatik pada Bahasa Melayu yang bukan sekadar alat berkomunikasi, bahasa adalah segala-galanya,” katanya yang mengenakan baju kurung kuning pada malam semalam.

Sementara itu, peserta Afghanistan, Abdul Matin Mohamed Azeem, 24, menyifatkan kemenangannya dalam kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) umpama melepasi lautan bergelora dengan ombak kuat.

Abdul Matin Mohamed Azeem

“Saya sebenarnya menguasai bahasa Melayu selama tujuh tahun sejak berusia 13 tahun lagi di bangku sekolah menengah.

“Pada tahun 2013 PABM, saya sekadar lima terbaik manakala pada tahun lalu sekadar mara ke suku akhir sahaja.

“Tetapi kali ini saya menggunakan strategi dari pengalaman itu untuk berpidato lebih baik kali ini namun kesihatan diri menguji saya sehingga jatuh sakit semasa separuh akhir.

“Saya berjaya mengharunginya dan merangkul piala yang saya idamkan selama ini, sangat berpuas hati dengan pencapaian ini,” kata Pelajar tahun akhir Teknologi Maklumat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Abdul Matin menuntut di Sekolah Menengah Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur selama tujuh tahun semasa mengikuti bapanya menuntut di universiti awam tempatan pada 2006.

Katanya, itu antara kelebihan yang membantu dirinya untuk mempersiapkan diri dengan pidato bertajuk ‘Dirgahayu Bahasa Melayu’ pada malam tadi.

“Saya mahu menggunakan pengalaman saya ini untuk mengajar bahasa Melayu dan melatih pelajar luar negara terus berpidato dalam Bahasa Melayu,” katanya.

Abdul Matin membawa pulang hadiah berupa wang berjumlah RM20,000, Piala Perdana Menteri, Piala Iringan, Piala Pusingan dan juga sijil penyertaan. – MalaysiaGazette