SHAH ALAM – Seorang pelatih dalam kamar didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 16 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM39,228 milik sebuah firma guaman di Ampang, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Sutrisno Sujeno, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Yang Zaimey Yang Ghazali.
Mengikut kesemua 16 pertuduhan itu, Sutrisno didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang milik 10 pelanggan firma guaman itu berjumlah RM39,228 untuk kegunaan peribadi.
Kesalahan itu dilakukan di pejabat di Dataran Palma, Off Jalan Ampang, Ampang Selangor antara 28 Disember 2018 hingga 19 Februari 2019.
Kesemua 16 pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan juga dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 14 tahun, dikenakan sebatan dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nur Zatil Hidayah Ali memohon jaminan RM50,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi kesemua 16 pertuduhan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon jaminan paling minimum atas alasan tidak bekerja, sentiasa beri kerjasama dengan pengadu serta tidak pernah melarikan diri.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan pasport perlu diserahkan ke mahkamah, esok.
Mahkamah juga menetapkan 9 Jun 2021 sebagai tarikh sebutan kes. – MalaysiaGazette