LONDON – Pencarian calon terbaik mengisi jawatan Pengurus Tottenham Hotspurs kini memasuki episod menarik selepas Antonio Conte menjadi individu terbaharu sasaran kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Tidak sampai seminggu menjulang gelaran Serie A Itali bersama Inter Milan Isnin lalu, Conte yang bertanggungjawab atas kemenangan gelaran itu selepas 10 tahun sedang dipujuk Spurs untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Jose Mourinho sejak 19 April lalu.
Calon pengurus, Julian Nagelsmann pula sudah diumumkan sebagai pengurus baharu Bayern Munich manakal Brendan Rodgers terus komited dengan the Foxes dan enggan meninggalkan King Power Stadium.
Harapan Spurs adalah mengumumkan pengurus baharu mereka sebelum musim EPL 2020/21 menutup tirai akhir bulan ini.
Selain itu Jurulatih Brighton, Graham Potter dan pengurus Jerman Ralf Rangnick serta Pengurus England Gareth Southgate turut dikaitkan dengan jawatan panas di White Hart Lane.
Namun, nama baharu muncul dalam rupa Conte apabila sebuah akhbar terkemuka di Itali mendakwa Spurs berjaya mendekati dan memulakan rundingan dengan Conte mengenai potensi berpindah ke London.
Conte, 51, masih meraikan kemenangan gelaran Serie A kali ini, namun masa depannya berjangka panjang bersama Milan masih menjadi tanda tanya.
Kontrak semasa Conte akan berakhir dalam tempoh setahun lagi dan kelab itu masih bergelut dengan krisis kewangan agak serius.
Ia menjadi faktor utama Spurs cuba memujuk Conte bagi mengetahui sama ada ikon itu berminat untuk kembali ke London.
Conte pernah mengemudi Chelsea dengan menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.- MalaysiaGazette