Home Nasional Beberapa pasar raya ada kaitan penularan Covid-19 akan ditutup

Beberapa pasar raya ada kaitan penularan Covid-19 akan ditutup

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media khas mengenai pematuhan SOP di Wilayah Persekutuan di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 06 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Ada beberapa pasar raya dan bazar akan ditutup dalam masa terdekat ini walaupun kebenaran operasi telah diberikan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana pihaknya telah menerima senarai pasar raya dan bazar Ramadan bagi tindakan susulan berikutan aduan penularan Covid-19 dengan kunjungan individu atau kontak rapat positif ke lokasi berkenaan.

“Kita ambil pertimbangan semuanya, kita ada terima aduan daripada penjual yang sudah beli stok dan tinggal beberapa hari sahaja sebelum berakhirnya bazar ini, ada juga penjual yang memberitahu lokasi perniagaan mereka tidak mempunyai kes kerana mematuhi semua garis panduan.

“Apapun kita akan bertindak mengikut data, menteri sudah hantar senarai kepada saya sejumlah pasar raya dan bazar Ramadan.

“Saya akan bawa isu ini ke mesyuarat kelak tetapi tidak mustahil ada pasar raya atau bazar ditutup kelak,” katanya pada sidang media di sini. 

Dalam pada itu, katanya, mana-mana pihak atau individu yang mempunyai keperluan merentas daerah atau negeri bagi tujuan janji temu penerimaan vaksin Covid-19 tidak perlu surat kebenaran polis.

Menurutnya, program imunisasi nasional berjalan seperti biasa walaupun ada negeri yang ketika ini sedang berhadapan dengan PKP termasuk negeri ini.

 Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan berkata, tarikh-tarikh untuk program vaksin yang telah ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera tidak boleh dipinda.

“Penerima vaksin hanya perlu menunjukkan janji temu dalam MySejahtera atau laman web dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Penerima vaksin tidak perlu surat polis. Cukup sekadar menunjuk janji temu dalam MySejahtera tarikh-tarikh yang telah ditetapkan untuk vaksinasi tidak boleh dipinda walaupun PKP,” tambah beliau.

Sebelum ini telah dibangkitkan mengenai kebenaran rentas daerah oleh penerima vaksin berikutan pelaksanaan PKP di enam daerah di Selangor bermula hari ini dan esok pula untuk Wilayah Persekutuan sehingga 20 Mei depan.

Dengan pelaksanaan PKP itu, pergerakan negeri tidak dibenarkan kecuali untuk kes kecemasan, kematian dan mereka yang bekerja. – MalaysiaGazette