BULAN Wakaf Kebangsaan 2021 yang telah dilancarkan oleh Perdana Menteri kita memberi penekanan terhadap peranan wakaf dalam pembangunan Negara. Wakaf bukan sahaja merupakan ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan, tetapi juga adalah jalan menuju kemakmuran Malaysia untuk kepentingan generasi akan datang tanpa mengira bangsa dan agama. Konsep wakaf yang dikendalikan secara profesional dapat memajukan golongan terbawah piramid ekonomi melalui usaha gigih dan ketekunan dengan matlamat utamanya untuk mempromosikan kepelbagaian, mengurangkan jurang ekonomi dan menegakkan keadilan melalui penyatuan nilai-nilai Islam ‘adl (keadilan), amanah (amanah), dan khilafah secara inovatif dalam tadbir urus korporat.
Nabi Muhammad SAW menegaskan dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani: “Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya.” Berlandaskan hadis ini, selain kekuatan akidah, umat Islam juga memerlukan harta untuk mencapai apa yang dirujuk sebagai al-falah (kejayaan di dunia dan akhirat). Ini menunjukkan kepentingan kekuatan ekonomi sangat disokong dalam Islam kerana dianggap sebagai salah satu tujuan asas bagi keputusan Syariah atau Maqasid al-Syariah.
Oleh itu, wajib bagi umat Islam untuk berada pada tahap kedudukan yang lebih tinggi, mempunyai kuasa dalam politik dan juga bisnes yang memberi keuntungan. Usaha ini penting agar kita dapat mengatasi segala cabaran dan rintangan yang sudah sekian lama melemahkan ummah dan menjadikan Islam kembali sebagai kuasa kontemporari peradapan.
Ketidaksamaan dan ketidakadilan ekonomi semakin menjadi-jadi – hasil dari ekonomi global yang dibina selama berabad-abad atas kehendak kapitalis yang juga mempunyai kaitan dengan penjajahan pada masa lalu. Justeru, konsep Wakaf Korporat sebagai satu institusi berstrategi yang dapat mengurangkan jurang kekayaan adalah amat wajar diterapkan sebagai benteng kepada penjajahan alaf baru – kuasa ekonomi.
Wakaf Korporat adalah institusi hibrid yang menggabungkan kekuatan kedua-dua perniagaan dan wakaf – menjadikan perniagaan dominan dan wakaf sebagai institusi Islam yang luhur. Kombinasi ini mampu mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan meletakkan kepercayaan atas tadbir urus korporat menjalankan amanah perniagaan, dan di masa sama pemilikan wakaf meletakkan kepentingan ummah mengatasi kepentingan peribadi.
Rakyat Malaysia pada awalnya memandang wakaf sebagai pemberian untuk tujuan keagamaan dan kebajikan semata-mata sedangkan wakaf telah lama memainkan peranan yang lebih meluas. Banyak hospital dan universiti (antaranya Al-Azhar yang terkenal di Cairo), yang digerakkan melalui wakaf. Jalan umum, jalan raya, jambatan, dan juga caravanserai (setara dengan “pelabuhan darat” yang menyediakan Perkhidmatan Perdagangan Laluan Silkroad), serta pasar dan bandar juga telah dibangunkan dan dibiayai melalui wakaf.
Dari abad ke abad, wakaf telahpun memenuhi spektrum keperluan masyarakat secara meluas termasuklah perlindungan flora dan fauna. Ini menggambarkan peranan wakaf sebagai satu konsep menyeluruh dan harus diterapkan dalam bidang perniagaan dan korporat. Di Malaysia sudah ada contoh institusi berbentuk wakaf korporat. Hari ini, AWQAF Holdings Berhad, (AWQAF), yang ditubuhkan oleh Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berjaya mencatat sumbangan wakaf yang diterima lebih daripada 3,000 ahli AWQAF yang aktif.
Peranan waqaf korporat dalam memberi dan mengambil berat adalah bersifat revolusi. Memandangkan ia dapat mengekalkan penghasilan aliran pendapatan dan sumber daya (ain), manfaat wakaf turut dapat diperluaskan dan akhirnya memberi impak yang besar kepada pemberi untuk terus berwakaf.
Wakaf Korporat dapat berfungsi sebagai perisai institusi yang kukuh untuk melindungi dan memelihara aset negara untuk menjamin kesejahteraan ekonomi generasi masa depan rakyat Malaysia.
Mohammad Sahar Mat Din
Timbalan Pengerusi, AWQAF Holdings Berhad