APA lagi yang perlu dilakukan jika Ramadan yang hadir ini tidak menjadi suatu lapangan tarbiah bagi seseorang Muslim itu menjadi rakyat yang prihatin. Sedangkan 11 bulan Masihi yang dilalui tidak dapat memperbaiki peribadi yang sepatutnya, janganlah pula sebulan yang dilalui pada bulan Ramadan ini pun demikian. Wal iyyadzubillah. Ia bukan sesuatu yang mudah untuk diterapkan dalam diri dan kehidupan. Namun, usaha yang berterusan tentunya menjadikan kita sebagai masyarakat yang prihatin, insya-Allah. Dengan kehadiran Ramadan yang sedang ditapaki ini menjadikan diri kita lebih konsisten prihatin terhadap lingkungan tanpa merasakan diri sebagai orang yang menyibuk, ‘jaga tepi kain orang’ atau seumpama dengannya.
Segalanya itu tentunya memakan waktu kerana dari satu fasa untuk berubah itu memerlukan tempoh yang sewajarnya agar ia terus kekal dan berterusan walaupun di luar Ramadan. Sebenarnya, inilah masa untuk kita sebagai umat Islam merasakan Ramadan mendidik diri menjadi prihatin, yang hadirnya memberikan impak yang positif dalam kehidupan. Sebagaimana kata Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor dalam Forum Bicara Bina Negara (BBN) ke-10 yang dianjurkan Pertubuhan IKRAM Malaysia pada 1 Mei lalu yang bertajuk ‘Ramadan Didik Rakyat Prihatin: “Besarnya persoalan prihatin ini meliputi semua perkara. Prihatin terhadap alam sekitar, prihatin terhadap masa depan hidupan liar, prihatin terhadap pelanggaran-pelanggaran hukum, prihatin terhadap ketidakadilan, prihatin terhadap perlecehan terhadap wanita yang kita saksikan baru-baru ini.”
Beliau memberitahu, contohnya dalam isu babi hutan masuk masjid tiga tahun lepas, apa yang jadi tumpuan atau fokus masyarakat ketika itu adalah sama ada kena samak atau
tidak. “Sedangkan bagi seorang Muslim yang prihatin yang dhamirnya (suara hati) hidup, yang mempunyai maklumat, akan mengaitkan ini dengan situasi yang berlaku dengan hidupan liar kita iaitu harimau”. Soal beliau, sedarkah kita bahawa harimau yang ada di negara kita ini tinggal 200 ekor sahaja? Tambahnya, spesis harimau yang ada di negara ini adalah spesis yang tiada di negara lain. Jika pupus, maka akan tiadalah spesis harimau itu. Apabila harimau semakin pupus, ia akan memberi kesan kepada peningkatan populasi babi hutan. “Prihatin itu bukanlah sekadar perasaan, tetapi sesuatu yang lahir daripada dhamir yang mendorong kita melakukan sesuatu untuk bertindak, atau sesuatu yang kita lihat,” demikian tegasnya.
Hakikatnya, tiada alasan lagi untuk kita sebagai umat Islam mengelak daripada bersikap prihatin, ambil tahu atau ambil berat mengenai situasi yang terjadi dalam persekitaran, negara dan dunia. Kecaknaan yang ada perlulah diurus dengan baik agar ia tidak menjerumus ke dalam lembah yang terlampau hingga menyebabkan situasi yang lain yang tidak diingini terjadi. Jangan pentingkan diri.
Ketika kita tidak mengambil peduli isu di persekitaran apalagi masyarakat, negara dan dunia, tentunya seseorang itu jauh daripada perkembangan isu yang berlaku. Sebagaimana simpulan bahasa ‘kera sumbang’, tentu kita tidak mahu digelar sedemikian,
bukan? Maka, seharusnya kita merasa bertanggungjawab terhadap persekitaran dan isu yang terjadi, bukan pentingkan diri semata-mata tanpa mempedulikan apa yang berlaku. “Sekiranya kita hanyut dengan ‘akuisme’, demokrasi itu tiada nilai lagi, pemerintah akan merasa mereka kebal dan boleh melakukan apa saja, kerana bagi mereka rakyat tidak peduli, kerana bagi mereka kalaulah rakyat dengar pun, mereka akan lupa, mungkin adalah seminggu, dua minggu, sodaqallahul azhim, khalas”.
“Ini adalah bahana kalau ada penyakit ‘akuisme’ atau aku tidak ‘pedulisme’ dalam negara demokrasi, apatah lagi dalam konteks keagamaan,” demikian kata Timbalan Presiden Multaqa Asatiza dan Du’at Malaysia (MURSHID), Saudara Amin Idris selaku panelis dalam forum BBN itu. Beliau berkata, terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW tentang mengambil berat antara satu sama lain. Antaranya: “Barang siapa melihat kemungkaran, maka cegahlah dengan tangannya, kalaulah ia tidak mampu maka cegahlah dengan lisannya, kalau ia tidak mampu dengan kata-kata, maka ubahlah dengan kebencian hati. Dan itulah ia selemah-lemah iman.” (HR Muslim).
Jelas Amin lagi, agama mengajarkan, kalau melihat kemungkaran, cuba cegahnya dengan tangan, contohnya ‘tarik tangannya’ keluar daripada kemungkaran, atau ‘tepuk bahunya’
sikit untuk bagi sedar apa yang dirinya buat itu salah. “Ulama hadis juga menyatakan tangan itu merujuk kepada kuasa. Apabila mereka ada kuasa melihat sesuatu mungkar berlaku, rasuah berlaku, kebejatan jenayah berlaku, normalisasi dosa berlaku, alangkah korupnya sesebuah kuasa kalau (maksiat) dibiarkan begitu, tidak dicegahnya dengan kuasa. Dan tidak semua orang punya kuasa”.
Menurutnya lagi, tentunya tidak ada kemampuan semua orang untuk ‘tarik tangan’ orang keluar daripada kemungkaran, maka Nabi SAW kata, kalau tidak mampu, cegah dengan lisan. Zaman kini sangat banyak platform untuk mencegah sesuatu kemungkaran dengan lisan. “Kita ada YouTube, kita ada Facebook, kita ada Twitter, kita ada Instagram, kita boleh menyatakan teguran ini melalui lisan, menyatakan nasihat melalui lisan dalam platform yang sangat pelbagai sekarang.”
Medium yang ada selayaknya dipergunakan untuk terus menyebarkan kebaikan, bukan membiarkan ia sepi dengan pelbagai perkara lagha yang melalaikan dan melekakan.
Boleh jadi sebelum ini kita sebagai umat Islam selalu memandang ia sesuatu yang tidak penting. Namun, ia perlu diubah mulai detik ini agar ia tidak terlambat. Mulakan pada bulan yang mulia, Ramadan yang masih bersama kita ini. Lakukanlah dengan sesungguhnya. Seharusnya kita sedari, takkan dengan usia yang telah puluhan tahun ini, kita masih dan hanya membenci dalam hati terhadap sesuatu kemungkaran.
Seharusnya kita sudah naik ke peringkat yang satu lagi iaitu mencegah kemungkaran itu dengan lisan atau paling tidak, sudah mencapai membanterasnya dengan tangan atau kuasa yang ada, bukan diam membisu seakan mengiakan semua itu. Janganlah dibutakan mata dan pekakkan telinga kerana ketidakpedulian kita terhadap sesuatu yang sepatutnya kita prihatin dan ketahui.
Realisasikan keprihatinan kita
Berusahalah menterjemahkan rasa prihatin kita terhadap isu yang mendatangi. Bukan untuk memberatkan fikiran, tetapi mengambil pengajaran daripada sikap Nabi SAW yang sangat peduli dengan umatnya. “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, dan ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah: 128)
Penulis dan perunding motivasi, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya ‘duduk’ di tengah yang mana jika ia terlebih atau terkurang, ia akan menjadi sesuatu yang bahaya seperti suhu badan. “Jadi, kita ada konsep ketuhanan, kemanusiaan, rohani, kebendaan, duniawi, ukhrawi, wahyu, akal, turath (peninggalan masa lepas) dan juga benda-benda moden yang mendepan, ada isu individu, ada isu masyarakat, ada realiti, ada idealisme, ada benda yang
tetap (thabat) dan berubah-ubah. Maka, lihatlah Islam yang syumul, merangkumi semua sekali”.
Betapa qudwah hasanah (contoh terbaik) yang dibuat oleh baginda SAW perlu dijadikan sebagai cerminan dan ikutan yang terbaik. Jika bukan kita yang peka terhadap apa yang terjadi, siapa lagi yang akan peduli? Dalam kesempatan yang ada ini, ayuhlah kita pertingkatkan keprihatinan kita sebagai umat Islam terhadap isu persekitaran, alam, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana saranan Presiden IKRAM, Ustaz Dr Haji Mohd Parid Sheikh Ahmad dalam ucaptama BBN ke-10: “Menerusi semangat bulan Ramadan ini, kita perlu berubah menjadi anggota masyarakat yang peka dan prihatin tentang perkembangan-perkembangan yang sedang berlaku dalam negara, di tengah-tengah umat Islam dan dunia.”
Beliau berkata, sepatutnya menerusi Ramadan ini, semua berubah dan berpegang dengan Islamiah yang sempurna. “Bukan setakat ikut sama melihat Islam dilaksanakan, dihayati pada sesuatu bidang sahaja tetapi dalam semua bidang seterusnya, keseluruhan hidup kita perlu berkembang mengambil faktor sebagaimana Islam itu sendiri kehendaki”.
Tambah beliau, di peringkat yang lain, setiap manusia perlu terus prihatin kerana semua kita adalah sebahagian daripada anggota masyarakat dan negara. Kerana syurga itu luas untuk sama-sama kita huni, maka bersamalah kita suburkan sikap prihatin atau peduli tentang segalanya dengan sewajarnya melibatkan persekitaran, negara dan dunia.
Ayuhlah!
Atriza Umar
Jabatan Penerangan dan Perhubungan
Pertubuhan IKRAM Malaysia