PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini melancarkan Jualan Peihatin Raya (JPR) yang menawarkan harga jualan barangan keperluan yang jauh lebih rendah daripada pasaran.
Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jualan tersebut diadakan dengan kerjasama antara KPDNHEP dengan syarikat-syarikat pembekal utama.
Ujarnya, JPR adalah inisiatif kementerian itu untuk meringankan kos hidup rakyat khususnya terhadap keperluan barangan bagi persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Kementerian sangat menghargai kerjasama yang baik dari semua pihak dalam menjayakan Program Jualan Prihatin Raya yang pertama kali diadakan ini.
“Kita faham bahawa persediaan menyambut perayaan kali ini amat berbeza daripada sebelumnya terutamanya dalam rakyat masih di bawah Printah Kawalan Pergerakan atau PKP.
“Walaubagaimanapun, kementerian sangat memahami keperluan rakyat untuk membeli barang-barang keperluan asas untuk menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi walaupun dalam keadaan yang sangat bersederhana pada tahun ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Anjung Seri KPDNHEP, hari ini.
Antara barangan keperluan yang dijual adalah ayam, telur, ikan, gula, minyak masak, tepung, beras dan sayur-sayuran.
Ayam yang dijual pada harga RM8 seekor manakala telur pula berharga RM4 untuk satu papan.
Pada majlis berkenaan, Alexander turut mengagihkan 46 hamperbox kepada kakitangan KPDNHEP yang disumbangkan oleh 99 Speedmart Sdn Bhd.
Tumpuan JPR kali ini adalah penduduk sekitar Putrajaya.
Jualan ini sepatutnya diadakan di lima lagi lokasi iaitu Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Baru Muda Kuala Lumpur pada 8 Mei, Taman Putra Perdana Sepang (9 Mei) dan negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan.
Namun ia terpaksa dibatalkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – MalaysiaGazette