KUALA LUMPUR – Polis merancang untuk membuat sembilan sekatan jalan raya (SJR) di ibu negara selepas empat SJR di Putrajaya untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan sekatan pergerakan antara daerah yang dikuatkuasakan kerajaan.
Namun jumlah pegawai dan anggota yang bakal dilibatkan akan ditentukan tidak lama lagi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, sembilan sekatan jalan itu penting untuk memastikan pematuhan dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh ibu kota berjalan lancar selama dua minggu sehingga 20 Mei ini.
“Setakat ini dari aspek jumlah pegawai dan anggota IPK yang akan dikerah dalam SJR itu masih belum dimuktamadkan lagi dan masih dalam proses perbincangan. Kita masih dalam proses mendapatkan bantuan agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah Azmi, agensi-agensi yang ditagih bantuan untuk SJR bersama PDRM akan duduk bersama dalam mesyuarat hari ini.
“Selepas mesyuarat petang itu nanti, kita akan menentukan jumlah pegawai dan anggota yang bakal dikera untuk SJR seluruh KL.
“Minggu lepas saya sudah tegaskan bahawa kita akan mempertingkatkan kawalan SJR pematuhan ke atas SOP Covid-19.
“Kita juga akan menyelaraskan SJR membabitkan sempadan antara Kuala Lumpur dan Selangor dan untuk PKP 3.0 ini kita akan memperketatkan lagi tahap kawalan pematuhannya tanpa kompromi.
“Bagi kita sedikit masa lagi untuk menyelaraskan tindakan kita, Selangor enam daerah dikuatkuasakan PKP dan begitu juga di ibu negara mulai hari ini maka kita peerlu mengkordinasikannya secara teliti dan teratur supaya penguatkuasaannya lebih sistematik dan tegas,” tegasnya.-MalaysiaGazette