Home Seni Hidup Pemangku Raja Pahang rasmi Masjid Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah

Pemangku Raja Pahang rasmi Masjid Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Bukit Sagu di Kuantan, Pahang hari ini.

KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkenan mencemar duli merasmikan Masjid Bukit Sagu di sini hari ini.

Ia merupakan masjid ke 666 dirasmikan baginda dan dimasyhurkan sempena namanya Masjid Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Selain menjadi kegunaan utama untuk solat Jumaat fardhu lima waktu, kuliah, tazkirah, aktiviti pengurusan jenazah turut disediakan di masjid tersebut yang dibina atas keluasan tanah empat ekar.

Difahamkan, masjid lama akan digunakan sebagai pusat pembelajaran seperti pusat tahfiz dan kelas fardhu ain.

Ketua Peneroka Felda Bukit Sagu, Maznan Fadzil bersyukur kerana masjid baharu itu dapat memberi manfaat kepada penduduk.

“Inilah hadiah yang sangat diidam-idamkan, masjid baharu yang kami tunggu dan dinamakan sempena nama tuanku sendiri dan baginda merasmikannya sendiri,’ katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Bagi Maznan, masjid baru lebih selesa berikutan masjid lama kawasan agak sempit dan kekurangan kawasan parkir kenderaan.

“Baki tanah dua ekar di kawasan masjid ini dijadikan kolam ikan dan penanaman kelapa untuk dijadikan pendapatan tambahan kepada masjid.” katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pemangku Raja Pahang berangkat sambutan Nuzul Quran

Pelajar terima kejutan istimewa daripada Pemangku Raja Pahang

Dalam pada itu, sebaik selesai solat Jumaat,, doa kesyukuran dipimpin oleh Mufti Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman dan turut dihadiri 200 jemaah mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Turut mencemar duli Tengku Panglima  Tengku Amir Nasser Ibrahim  Ibni Almarhum Tengku Arif Bendahara Ibrahim.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Ahmad.

Masjid Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah memulakan pembinaan pada tahun 2018 dan menelan kos perbelanjaan sebanyak RM 4.16 juta mampu menempatkan kira-kira 1, 200 jemaah dalam satu-satu masa. – MalaysiaGazette