Home Nasional Penghuni ingkar SOP, pengurusan kondo mewah dikompaun RM10,000

Penghuni ingkar SOP, pengurusan kondo mewah dikompaun RM10,000

Salah seorang penghuni disyaki warga asing sebuah kondominium mewah di ibu negara yang gagal mematuhi sop PKP membawa padah pengurus bersama premis berkenaan dikompaun RM10,000 yang bertanggungjawab ke atas kecuaian tersebut hari ini.Foto ihsan IPD Dang Wangi.

KUALA LUMPUR – Gara-gara sikap tak ambil endah sebilangan penghuni sebuah kondominium mewah yang mengabaikan pemakaian pelitup muka dan tidak guna aplikasi MySejahtera –  pengurusan premis berkenaan menerima akibatnya ata kecuaiannya.

Badan pengurus bersama premis kondominium mewah di ibu negara dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal memantau dan tidak mengarahkan penghuni mereka mematuh prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tindakan kompaun itu dikeluarkan terhadap pengurus berkenaan kerana penghuninya melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuatkuasa sehingga 20 Mei ini.

“Siasatan polis mendapati kejadian berlaku hari ini apabila pengurus bersama kondominium berkenaan gagal mengarahkan penghuni membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama di dalam buku daftar sebagaimana yang disyaratkan dalam SOP dalam masa PKP yang sedang berkuat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Tambah Mohamad Zainal, tindakan pengeluaran kompaun  dilaksanakan di bawah Peraturan 16 Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (no. 4) (pindaan) (no. 16) 2021.

Beliau menasihati semua pemilik premis supaya terus mematuhi sop yang ditetapkan oleh majlis keselamatan negara (MKN) dalam memerangi wabak Covid-19.

“Adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis memastikan semua penghuni dan pengunjung mematuhi sop yang ditetapkan ketika berada dalam premis dan tindakan tegas akan diambil ke atas semua pemilik premis yang melanggar SOP,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan gambar yang dikongsi polis mendapati beberapa penghuni dilihat tidak memakai pelitup muka kelihatan berjalan masuk ke dalam premis dari tingkat bawah.-MalaysiaGazette