KUALA LUMPUR – PC Vietnam Limited (PCVL), anak syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) akan menyerahkan Blok 01 dan 02 yang terletak di lembangan Cuu Long, luar pesisir Vietnam, kepada pihak berkuasa negara itu apabila Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) tamat 9 September ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Petronas berkata, PSC selama 26 tahun untuk blok tersebut berkuatkuasa pada 9 September 1991 dan ia merupakan usaha sama antarabangsa pertama yang berjaya.
Berikutan tamat tempoh semula PSC itu, PCVL akan menghentikan operasinya seperti yang termaktub dalam terma kontrak, kata Petronas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, sebagai pelabur perintis dalam industri minyak dan gas di Vietnam, Petronas bangga diberi kesempatan oleh kerajaan negara itu untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan industri minyak dan gas dan petrokimia.
“Kami berpeluang untuk mengambil bahagian dalam pembangunan modal insan Vietnam menerusi program keupayaan berstruktur dan tempatan untuk pekerja kami, serta pelbagai inisiatif pendidikan dan penajaan untuk golongan muda Vietnam muda yang layak dan berbakat,” katanya.
Petronas masih menjalankan aktiviti pengeluaran huluan untuk Blok 102 dan 106 yang terletak di Song Hong Basin, Vietnam Utara, dikendalikan oleh Petronas Carigali Overseas Sdn Bhd (PCOSB).
Petronas juga mahu meneruskan komitmen dalam perniagaan hilirannya di Vietnam, terutamanya dalam sektor pelincir dan petrokimia. – MalaysiaGazette