KUALA LUMPUR – Polis mengingatkan orang ramai bukti tiket penerbangan yang telah dibeli bukan alasan kukuh bagi mendapatkan kelulusan permit rentas negeri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, orang ramai mestilah terlebih dahulu mendapatkan kebenaran polis melalui permit rentas negeri sebelum membuat sebarang tempahan pembelian tiket penerbangan.
“Mengikut statistik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sejak 30 April hingga 6 Mei 2021 sebanyak 583 permohonan merentas negeri melalui pengangkutan udara telah ditolak oleh balai polis lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.
“Ia disebabkan justifikasi permohonan didapati tidak munasabah dan dokumen perjalanan yang dikemukakan tidak sah atau tidak lengkap,” katanya menerusi kenyataan malam ini.
Menurut Mohamad Fakhrudin, permohonan yang akan diberi kelulusan adalah untuk tujuan menziarah kematian ahli keluarga terdekat iaitu seperti pasangan sendiri, anak, ibu dan adik beradik.
Selain itu, kecemasan dan pasangan suami isteri jarak jauh sahaja juga diberi kebenaran.
“Kebenaran polis melalui permit rentas negeri adalah diwajibkan untuk ketiga-tiga sebab di atas sebelum membuat sebarang tempahan atau pembelian tiket penerbangan.
“Jangan menganggap bukti tiket penerbangan yang telah dibeli lebih awal adalah alasan kukuh mendapatkan kelulusan permit rentas negeri,” tegasnya.-MalaysiaGazette