Home Utama Dihimpit hutang, ada pemandu bas pelancong cuba bunuh diri – GAPP

Dihimpit hutang, ada pemandu bas pelancong cuba bunuh diri – GAPP

punca kerugian apabila pintu sempadan negeri dan negara ditutup bagi mengekang penularan pandemik.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rata-rata pengusaha dan pemandu bas pelancong kini dihimpit masalah kewangan sehingga mengakibatkan mereka mengalami tekanan hidup akibat kesan penularan Covid-19.

Malah ada dalam kalangan mereka cuba membunuh diri, dakwa Timbalan Presiden Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP), Wan Shairi Wan Ahmad.

Menurutnya, tindakan itu berlaku akibat kehilangan punca pendapatan semenjak pandemik dan menanggung hutang keliling pinggang yang tidak mampu dilunaskan.

Masalah tidak layak menerima moratorium pembiayaan daripada bank mengakibatkan kehidupan pengusaha bas pelancong semakin susah, katanya.

“Kebanyakan kami membeli bas baharu untuk menyahut sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020. Akhirnya kemuncak selepas membeli bas hampir semua tidak mampu bayar bas sebab tidak dapat moratorium, tidak ada pendapatan.

“Secara spritual tidak ada yang boleh bertahan kalau ada sebulan kena tanggung RM80,000 kalau ada lapan buah bas?

“Yang meninggal ada empat yang kami kenal, tiga dari empat pengusaha bas pelancongan sebab sakit jantung tertekan tidak ada pendapatan.

“Seorang lagi pemandu bas pelancong yang cuba membunuh diri terjun dari bangunan di Sentul,” katanya ketika sidang media khas Penyampaian Bantuan Khas Kepada Pemandu Bas Persiaran yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang diadakan secara Zoom hari ini oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) hari ini.

Justeru, Wan Shairi mencadangkan MTC menyediakan khidmat kaunseling untuk pengusaha dan pemandu bas pelancong agar dapat terus bertahan dalam waktu ini.

Jelasnya, masalah kesihatan mental penggiat industri berkenaan pada waktu ini sangat rapuh apatah lagi dalam keadaan kehilangan punca pendapatan sejak para pelancong tidak dibenarkan masuk ke dalam negara.

Sementara itu, Presiden MTC, Uzaidi Udanis tidak menolak situasi terkini negara mengakibatkan ramai penggiat industri itu terkesan dengan teruk.

Sehubungan itu beliau berkata, cadangan mewujudkan khidmat kaunseling itu wajar dipertimbangkan.-MalaysiaGazette