Home Seni Hidup Bangi Sentral: Dulu sesak kini semakin lengang

Bangi Sentral: Dulu sesak kini semakin lengang

Seorang peniaga membetulkan pakaian di patung sempena persiapan Aidilfitri biarpun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2021.

BANGI – Hari kedua pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di enam daerah di Selangor ternyata memberi kesan kepada para peniaga.

Tinjauan MalaysiaGazette di Bangi Sentral di Bandar Baru Bangi mendapati keadaan semakin lengang dan pengunjung semakin berkurangan tidak seperti tahun-tahun sebelum penularan Covid-19.

Rata-rata peniaga yang ditemui kami mendapati hasil jualan harian mereka terjejas kerana pelaksanaan PKP bermula semalam.

Peniaga, Fazlan Abdullah. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2021.

Eksekutif jualan Alyasarah, Fazlan Abdullah, 33 berkata, disebabkan pelaksanaan PKP kali ketiga ini, jualan butik mereka turun mendadak sehingga 50 peratus.

“Bermula pelaksanaan PKP 3.0 kurang sangat pengunjung, walaupun kita ada penjarakan fizikal sebelum ini tapi bila mula PKP kali ini, ternyata kurang pengunjung.

“Pengunjung kami kurang 50 peratus, pengunjung tidak ramai seperti sebelum ini,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Umum mengetahui Bangi Sentral merupakan lubuk fesyen tatkala tiba Hari Raya Aidilfitri.

Malah sebelum datangnya Covid-19, kawasan ini didapati sesak sehingga lima kilometer kerana kepadatan pengunjung yang membeli belah di sini.

Peniaga, Syikin Rusli. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2021.

Seorang lagi peniaga dari Bella Ammara, Syikin Rusli, 23, pula berkata, sejak pengumuman PKP,  jumlah pengunjung didapati berkurangan secara mendadak.

Ujar Syikin, sebelum ini, ramai pengunjung berpusu-pusu ke Bangi Sentral dari segenap pelusuk negara untuk mendapatkan pakaian hari raya terkini.

“Kebiasaanya sudah ramai waktu-waktu macam ini, tapi pagi ini kurang sedikit mungkin tengahari akan naik sedikit. Kalau ikutkan butik para artis, kita nampak tidak ramai pengunjung datang kesini,” keluhnya.

Peniaga, Rhea Ludin. Foto SYAFIQ AMBAK, 08 MEI 2021.

Bagi eksekutif jualan Jubahsouq, Rhea Ludin, 30, pengumuman saat-saat akhir oleh kerajaan ternyata menjejaskan perniagaan mereka.

Katanya, para peniaga terpaksa mencari kaedah lain untuk menggerakkan jualan mereka memandangkan ramai pengunjung tidak akan dapat ke butik mereka kerana sekatan rentas daerah.

“Sangat-sangat terjejas ekoran pelaksanaan PKP, kalau dari segi sambutan memang berkurangan. Biasanya kenaikan jualan itu mendadak waktu Aidilfitri, bila berlaku PKP berturut-turut juala kami merudum nyata sebab orang tidak boleh rentas negeri dan daerah.

“Di Bangi Sentral tidak semeriah sebab tahun-tahun sebelum ini orang tahu kawasan ini lubuk orang membeli belah dan sekarang tengok kepada situasi hari ini, pelanggan amat kurang. Agak lengang, tidak sesak macam dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette