Home Nasional Kompleks mahkamah Shah Alam jadi tumpuan kes Jong Nam

Kompleks mahkamah Shah Alam jadi tumpuan kes Jong Nam

SHAH ALAM – Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini menjadi tumpuan lebih 50 pengamal media tempatan dan asing hari ini, bagi mengikuti kes sebutan semula pertuduhan dua suspek wanita dalam pembunuhan abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.

Media berkumpul seawal pukul 6 pagi bagi mengikuti perkembangan kes itu yang mendapat liputan meluas.

Kaunter untuk mendaftar masuk bagi membuat liputan di dalam bilik mahkamah mula dibuka pada 7.30 pagi hingga 8.30 pagi di perkarangan lobi kompleks mahkamah.

Dua meja pendaftaran berasingan disediakan bagi media tempatan serta asing dan mereka yang akan mengikuti pendakwaan itu dikehendaki menyerahkan telefon bimbit, kamera dan peranti rakaman kepada anggota polis yang bertugas selain melalui pemeriksaan keselamatan.

Pihak mahkamah juga memutuskan untuk menyediakan hanya 20 tempat duduk kepada media tempatan dan asing bagi mengikuti kes berkenaan.

Jurugambar dan jurukamera serta media juga tidak dibenarkan masuk ke lobi dan kawalan di sekitar kompleks mahkamah diperketatkan dengan kehadiran anggota polis yang agak ramai.

Dua wanita asing yang didakwa membunuh Jong-nam, iaitu Siti Aisyah, 25, yang merupakan warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam tiba dalam konvoi pacuan empat roda berasingan.

Konvoi pertama yang membawa Doan tiba kira-kira 8.05 pagi manakala konvoi membawa Siti Aisyah yang memakai jaket kalis peluru, tiba lima minit kemudian.

Polis trafik juga mengawal lalu lintas di laluan di hadapan kompleks mahkamah.

Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.

Pada 1 Mac, kedua-dua wanita itu dihadapkan di Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan membunuh Jong-nam, 45, bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Pelepasan, klia2, pada kira-kira 9 pagi, 13 Feb, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Jong-nam yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. Beliau dilapor berada di Malaysia sejak 6 Feb. – BERNAMA