KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur telah menubuhkan 91 Pasukan Pemantauan Pematuhan bagi memeriksa prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan sejak 7 Mei lalu dipatuhi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Azmi Abu Kassim berkata, ia melibatkan lima pegawai dan 1,200 anggota yang ditempatkan di lokasi tumpuan awam.
Katanya, polis turut menerima bantuan sokongan dan kerjasama daripada 61 agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Para anggota Pasukan Pemantau Pematuhan SOP itu akan sentiasa memberi peringatan demi peringatan kepada orang ramai di lokasi supaya sentiasa patuh kepada SOP PKP ketika berada di tempat awam dan sesak.
“Dalam perkara ini kita tidak terus keluarkan kompaun kepada mereka kecuali jika ada individu yang tetap berdegil dan mengambil sikap sambil lewa walaupun sudah dinasihatkan beberapa kali,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas turun memantau pematuhan SOP PKP 3.0 di Bazar Aidilfitri di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.
Azmi yang diminta mengulas mengenai kekeliruan dalam kalangan peniaga mengenai arahan penutupan bazar berkata, ia adalah salah faham antara peniaga dan pengelola bazar.
“Saya ada ditanya oleh peniaga-peniaga di sini mengenai perkara itu dan saya sendiri menghubungi MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk mendapatkan penjelasan lanjut bagi menangani kekeliruan itu segera.
“Maka peniaga telah dibenarkan meneruskan perniagaan hingga jam 10 malam ini dan bazar ini mesti dikosongkan bermula esok bagi tujuan sanitasi awam.
“Semua Premis yang tersenarai dalam Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) juga perlu ditutup tiga hari bagi tujuan sama,” katanya.
Sementara itu, Azmi memberitahu, pihaknya akan mengekalkan sembilan sekatan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.
Sekatan didirikan di Jalan Sentul Pasar, di hadapan Balai Polis Kepong, Lebuhraya Persekutuan hala ke ibu negara, Jalan Klang Lama, Jalan 2/27A Wangsa Melawati dan Jalan 1/91 Taman Shamelin Perkasa.
Sekatan turut didirikan di Lebuhraya Bukit Jalil, Jalan Tol Duta menghala ke Kuala Lumpur dan laluan Tol Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette