GEORGE TOWN – Ibu bapa atau penjaga yang perlu merentas daerah untuk menghantar anak ke taska mahupun rumah pengasuh perlu mendapatkan surat pengesahan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, sekiranya pusat jagaan tersebut tidak mengeluarkan surat ibu bapa perlu mendapatkan kelulusan dari balai polis berhampiran.
“Mereka perlu mengisi borang permohonan itu sekali saja dan ia boleh diguna pakai sehingga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dikuat kuasa.
“Esok, pihak polis memberi kelonggaran kepada ibu bapa yang ingin rentas daerah bagi tujuan hantar anak sekiranya mereka belum mendapatkan surat kebenaran itu hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di Komtar hari ini.
Dalam perkembangan sama, Sahabudin berkata, sebanyak 42 Sekatan Jalan Raya (SJR) akan didirikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang akan bermula esok hingga 23 Mei ini.
Jelas beliau, SJR tersebut membabitkan lima daerah di negeri itu dan penambahan SJR tersebut adalah untuk memastikan pihaknya dapat melakukan kawalan ketat di jalan raya.
“Selain penyamaran, pemantauan dan sekatan turut diadakan di laluan tikus yang sudah pun dikenal pasti terutamanya di beberapa sempadan negeri.
“Ia dilakukan bagi menghalang orang ramai merentas daerah dan negeri sesuka hati,” ujar beliau.
Tambah beliau, kira-kira 3,500 pegawai dan anggota polis di negeri itu terlibat dengan penugasan Ops Covid sempena PKP 3.0; membabitkan 107 pasukan.
Ia termasuk yang bertugas di tempat pemberian vaksin, pusat simpanan vaksin dan pusat kuarantin.
Bermula esok hingga 23 Mei, daerah Timur Laut, Seberang Perai Tengah , Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang dikenakan PKP 3.0.
Bagi Seberang Perai Utara hanya Bandar Butterworth dan Mukim 14 manakala daerah Barat Daya melibatkan Mukim 12. – MalaysiaGazette