KUALA LUMPUR – Lama memendam rasa dan berselindung mengenai teka teki status sebenar diri, bekas anggota kumpulan Elite, Fiza Halim akhirnya mengesahkan yang dia kini kembali berstatus solo sejak 22 Julai tahun lalu.
Tiga kali pernah berkahwin termasuk perkahwinan dengan juruterbang berstatus duda dua anak bernama Aizat Al Jefri sejak Disember tahun 2016 juga kecundang di tengah jalan.
Menerusi perkahwinan ketiga itu, pasangan ini dikurniakan cahaya mata Baby Aleena kini berusia hampir tiga tahun.
“Saya ambil masa untuk merungkaikan hal sebenar. Ia bukan mudah. Tapi baru saat ini saya ada kekuatan untuk mendedahkan status diri. Kami bercerai talak satu. Saya diceraikannya menerusi aplikasi WhatsApp.
“Punca atau sebab kenapa kami berpisah itu, biarlah saya simpan dan tanggung sendiri. Saya tak mahu membuka aib sesiapa.
“Saya sedar dengan status pernah berkahwin tiga kali, pasti ada yang akan memandang serong. Namun saya hanya manusia biasa, yang tak lepas diuji. Saya tak hidup dek puji, tak mati dek keji,” katanya yang terus mengunci mulut mengenai punca perpisahannya.
Fiza atau nama sebenarnya, Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim akur dengan suratan hidup ini.
Fiza juga mengakui sejak tiga minggu lalu sukar melelapkan mata untuk tidur.
“Mata mengantuk, tapi tak boleh nak tidur. Otak seolah olah berjalan memikirkan itu ini. Termasuk nasib saya. Saya lost dan terkapar kapar memikirkan pengakhiran hidup nanti bagaimana.
“Namun saya bersyukur ada yang datang membuka jalan untuk menggalakkan diri menyertai cabang kerja baru. Mungkin saya akan mempertimbangkan kerja itu
“Cuma saya belum terfikir nak berlakon atau bernyanyi semula setakat ini. Selama ini pun, saya juga membuat ulasan produk dan perkhidmatan di Instagram. Saya juga terbuka jika ada tawaran bergelar duta selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, Fiza juga beruntung kerana bekas suami,
Ahmed Farriq Zainul Abidin juga sangat menyokong terutama menjaga dua anak mereka, Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12.
Mereka bagaimanapun bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin.
Fiza seterusnya berkahwin dengan penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia, Adam, pada September 2013. Perkahwinan kedua juga tak dapat diselamatkan.
“Lebih terjamin hidup anak saya dengan bekas suami. Bekas suami pun sesekali mengambil berat dan bertanya keadaan saya,” katanya.
Di akhir bicara, Fiza turut menjawab desas desus yang dia kononnya sudah berkahwin dengan pelawak Saiful Apek.
Ia rentetan gambar mesra mereka dikongsi Fiza di Instagramnya dan menjadi perdebatan di netizen.
“Tak ada istilah saya sudah jadi isteri kedua dia. Kami hanya bertemu di sebuah program game show. Gambar berdua kami yang tular itu dirakamkan isterinya sendiri.
“Kami masing masing gelak kerana tahu perkara sebenar.
“Mungkin silap saya kerana ketika itu status kisah rumah tangga ketiga saya masih samar samar. Jadi ia mengundang kebencian ramai,” katanya. – MalaysiaGazette