KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini telah membenarkan permohonan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim untuk mendapatkan dokumen untuk tindakan sivil terhadap bekas rakan kongsi firma guamannya.
Mohd Zaid memfailkan permohonan penzahiran dokumen daripada Pengerusi Eksekutif firma itu, Datuk Seri Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, bekas rakan pengurusannya Chew Seng Kok dan juga firma itu yang berkaitan dengan samannya terhadap ZICO.
Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir menerusi perbicaraan atas talian aplikasi Zoom hari ini.
Akhtar Tahir membuat keputusan membenarkan permohonan Mohd Zaid setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak iaitu peguam mewakili Mod Zaid, Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala firma guaman Zaid Ibrahim & Co (ZICO) pula diwakili oleh Tan Sri Tommy Thomas.
Mohd Zaid memfailkan permohonan penzahiran dokumen itu pada Disember tahun lepas, memohon bekas rakan kongsinya dan ZICO Holdings Inc yang berpangkalan di Singapura menzahirkan dokumen yang berkaitan dengan samannya.
Pada 24 November tahun lepas, Mohd Zaid memfailkan saman terhadap ZICO untuk menghalang firma itu daripada terus menggunakan namanya dalam amalan guaman dan mengembalikan nama firma tersebut kepadanya.
Sebelum ini pada prosiding terdahulu, Tommy pernah memberitahu mahkamah dokumen tersebut sudah ada dalam pemilikan Mohd Zaid dan beliau tidak boleh meminta firma guaman itu mengemukakan kepadanya.
Malah kata Tommy, dakwaan Mohd Zaid bahawa beliau masih memiliki ekuiti lima peratus di ZICO dianggap tidak sah kerana setelah Mohd Zaid dilantik sebagai menteri pada tahun 2008, undang-undang mengenai ekuiti tidak membenarkannya terus memegang saham di firma lamanya.
Dalam pada itu, Mohd Zaid melahirkan rasa gembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi KL berhubung permohonan beliau di laman sosial Twitter miliknya.
“Hari ini mahkamah telah berlaku adil, sekarang saya dibenarkan melihat semua dokumen berkaitan firma. Penderitaan ini tidak kekal selamanya,” tulisnya. -MalaysiaGazette