Home Nasional Negara alami peningkatan kes kematian sejak minggu epidemiologi ke-12 – Adham

Negara alami peningkatan kes kematian sejak minggu epidemiologi ke-12 – Adham

Minister of Health Datuk Seri Dr Adham Baba Covid-19 Education Cluster
Datuk Seri Dr Adham Baba

KUALA LUMPUR – Sebanyak 136 kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan di seluruh negara pada minggu epidemiologi ke-18.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kes kematian itu meningkat 43.2 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Beliau berkata, peningkatan itu adalah daripada purata 19 kes kematian yang berlaku setiap hari.

“Negara mengalami peningkatan kes kematian sejak minggu epidemiologi ke-12.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau kes kematian berkaitan Covid-19 selama enam minggu terakhir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Menteri Penyelaras, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, sehingga 8 Mei, sebanyak 393 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan purata 355 bagi tempoh epidemiologi ke-18.

“Ia mengalami peningkatan sebanyak 15.3 peratus berbanding minggu sebelumnya,” katanya.

Menurut Adham, sebanyak 210 pesakit memerlukan bantuan pernafasan sehingga 8 Mei dengan purata 192 pada minggu tersebut.

Ujarnya, peningkatan itu adalah sebanyak 30.6 peratus berbanding minggu sebelumnya dan KKM memantau peningkatan penggunaan mesin ventilator sejak minggu ke-11.

Minggu epidemiologi ke-18 adalah 2 hingga 8 Mei manakala minggu ke-17 adalah 25 April sehingga 1 Mei.

Jelas beliau, kluster Covid-19 di tempat kerja turut merekodkan peningkatan 83.3 peratus iaitu pertambahan 44 kluster, manakala pada minggu ke-17 hanya 24 kluster yang dikenalpasti.

“Jumlah keseluruhan kluster yang telah dikenalpasti sehingga minggu epidemiologi ke-18 adalah 1,775,” ujarnya.

Beliau berkata, kluster melibatkan komuniti dan aktiviti keagamaan juga melaporkan peningkatan masing-masing 32 serta 14.3 peratus dalam tempoh tersebut.

“Terdapat 33 kluster komuniti dikesan berbanding sebelumnya iaitu 25 kluster, manakala kluster aktiviti keagamaan adalah lapan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kluster membabitkan institusi pendidikan hanya merekodkan 19 berbanding 24 kluster minggu sebelumnya.

“Turut merekodkan penurunan adalah kluster pusat tahanan dan kluster golongan berisiko hanya hanya melaporkan satu kes pada minggu berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Adham berkata, seramai 540 pesakit Covid-19 kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah itu 300 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan. – MalaysiaGazette