Home Sukan Sri Pahang belum boleh selesa – Dollah

Sri Pahang belum boleh selesa – Dollah

Foto Facebook Sri Pahang.

KUALA LUMPUR – Sri Pahang FC berjaya keluar dari zon penyingkiran apabila meraih tiga mata menewaskan Perak FC dengan keputusan 3-1 di Stadium Perak malam tadi.

Ternyata kehadiran empat pemain import baharu yang berada dalam kesebelasan utama semalam memberi derita kepada benteng lawan apabila jaringan tersebut hadir daripada Aung Kaung Mann dan dua lagi menerusi Kenny Athiu.

Pengendali Pahang, Dollah Salleh bagaimanapun berkata, pasukan tidak boleh bersikap sambil lewa selepas ini dan tempoh masa dua bulan Liga Malaysia berehat akan memberi fokus kepada pemain baharu ini untuk mencipta keserasian yang lebih baik bersama pemain lain.

“Tiga mata ini cukup penting untuk kita kerana mula-mula kita sasarkan untuk raih sembilan mata dalam tiga aksi terdahulu, tetapi kita peroleh tujuh mata dan itu juga memadai kerana saya sudah nampak perbezaan lebih baik berbanding ketika berdepan Selangor.

“Memang nampak ketara apabila import baharu ini beraksi cuma apabila kita mendahului, minit-minit akhir pemain saya sedikit ambil mudah sehingga lawan berjaya meraih gol.

“Keseluruhan memang saya berpuas hati apa yang ditampilkan oleh empat pemain import ini dan juga pemain-pemain lain yang bertungkus-lumus,” tambahnya.

Keputusan lain menyaksikan Melaka United FC dan PJ City FC masing-masing membawa pulang satu mata sahaja apabila perlawanan berakhir tanpa jaringan manakala Terengganu menewaskan Selangor FC 2-1 di tempat lawan.

Berakhir 13 perlawanan secara keseluruhan, saingan Liga Malaysia akan kembali bersambung pada Julai depan bagi memberi laluan kepada aksi skuad kebangsaan. – MalaysiaGazette