Home Sukan Selamat tinggal JDT – Harris Harun

Selamat tinggal JDT – Harris Harun

Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Jodoh Hariss Harun bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya berakhir selepas tujuh musim menabur bakti bersama penyandang juara Liga Super itu.

Menerusi kenyataan laman rasmi Johor Southern Tigers, kapten skuad Harimau Selatan dan pengurusan kelab itu bersetuju untuk menamatkan kontrak selepas pemain itu menyatakan hasrat untuk bersama keluarga disebabkan pandemik Covid-19 yang menyukarkan dia berulang-alik ke Singapura.

“Kelab JDT ingin mengucapkan terima kasih kepada kapten Hariss Harun atas kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, aksi persembahan penuh semangat dan atas segala jasa yang diberikan kepada kelab sejak penampilan pertama pada Januari 2014.

“Hariss menyertai JDT selepas menjulang gelaran Liga Super ketika mewakili LionsXII dan kemudian memenangi tujuh lagi kejuaraan liga berturut-turut termasuk Piala AFC pada musim 2015 yang dianggap bersejarah buat JDT selain mengecapi kejayaan menjulang sembilan lagi piala domestik di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Sepanjang menyertai JDT, dia melakukan 197 penampilan, bermain 15,367 minit, menjaringkan 12 gol, melakukan lima bantuan jaringan dan sering kali mempertahankan benteng pertahanan dari bahagian tengah buat skuad Harimau Selatan.

“Hariss selayaknya digelar legenda pasukan JDT. Kami sentiasa membuka pintu untuknya jika dia ingin kembali bersama kami pada masa akan datang,” tambah kenyataan itu. – MalaysiaGazette