PERSOALAN tentang penutupan premis-premis yang tersenarai sebagai titik panas atau
hotspot daripada sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement system
(HIDE) yang baru diperkenalkan terjawab apabila Menteri Kanan (Kluster
Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub yang mengumumkan bahawa premis-
premis ini telah diarahkan tutup selama tiga hari berkuat kuasa serta merta.
Sebelumnya, kerajaan telah mengeluarkan senarai lokasi serta premis berisiko yang
dikenal pasti oleh sistem amaran awal HIDE sebagai lokasi titik panas penularan
COVID-19. Senarai ini adalah senarai titik panas pertama yang dikeluarkan kerajaan
semenjak penubuhan HIDE. Senarai ini melibatkan premis-premis yang berpotensi
menjadi kluster dan berbeza dari senarai kluster yang dilaporkan setiap hari oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kebanyakan premis ini terdiri daripada
pusat-pusat membeli-belah, premis-premis perniagaan dan bazar Ramadan.
HIDE ataupun nama panjangnya, Hotspot Identification and Dynamic Engagement
merupakan salah satu ikhtiar kerajaan bagi membendung penularan jangkitan
COVID-19. Sistem ini menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang dicipta untuk
meramal potensi sesebuah premis untuk menjadi titik panas penularan COVID-19
dalam jangka masa tujuh (7) hari.
Apakah yang sebenarnya menyumbang kepada peningkatan kes ini?
Melihatkan kepada senarai yang dikeluarkan HIDE ini, majoriti daripadanya
merupakan pusat membeli belah, pasaraya, bazar Ramadan dan masjid. Kebanyakan
titik panas ini bertempat di Selangor dan kemudian diikuti dengan Kuala Lumpur,
Johor, Penang, Sarawak, Sabah, Putrajaya, Perak, Kelantan dan sebuah premis
masing-masing di Melaka dan Negeri Sembilan.
Sebenarnya, perkara ini sangatlah dijangkakan kerana umum mengetahui masyarakat Malaysia hari ini sedang menghitung hari menuju perayaan Hari Raya Aidilfitri. Keghairahan masyarakat membuat persiapan hari raya seperti membeli baju raya, dekorasi rumah dan sebagainya menyebabkan kunjungan ke premis-premis perniagaan ini meningkat. Tambahan pula di bulan Ramadan ini, tidak hairanlah bazar Ramadan dan masjid turut tersenarai kerana ini juga adalah kawasan-kawasan yang sering dikunjungi masyarakat beragama Islam terutamanya pada ketika ini. Yang menjadi permasalahan utama di sini adalah, apabila sesebuah premis itu dikunjungi oleh orang ramai, penjarakan fizikal adalah amat susah untuk dipraktikkan.
Tambahan pula, hampir semua pusat-pusat membeli belah tidak mengehadkan jumlah pengunjung dalam satu-satu masa. Memang tidak dinafikan kebanyakan premis-premis perniagaan di pusat beli belah telah menetapkan jumlah pengunjung dalam satu-satu masa, namun bagaimana pula dengan pengunjung yang tidak dapat masuk ke premis tersebut? Mereka didapati berlegar-legar di sekitar pusat membeli belah dan seterusnya menyumbang kepada kesesakan pusat beli belah tersebut.
Maka, tujuan asal kerajaan untuk mengelakkan perkumpulan orang ramai dalam sesebuah premis tidak dapat kita capai. Tidak kurang juga, ramai pengunjung yang
beratur dalam keadaan rapat yang tidak memungkinkan penjarakan fizikal dilakukan.
Hal ini turut sama berlaku di kebanyakan bazar-bazar Ramadhan dan bazar Aidilfitri.
Di masjid pula, masih ramai lagi jemaah yang gagal mengenakan pelitup muka dengan betul. Perkara ini sangatlah dikesali kerana kerajaan berkali-kali mengingatkan bahawa pematuhan kepada SOP amatlah penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Adat bersalaman, berpelukan dan berlaga-laga pipi juga perlu dielakkan. Suka juga kami tekankan pematuhan SOP semasa majlis-majlis sosial yang melibatkan orang ramai.
Bimbang kluster komuniti baharu wujud
Perkara-perkara yang disebutkan di atas adalah amat membimbangkan kerana ia
berpotensi mewujudkan kluster-kluster baharu yang melibatkan premis-premis titik
panas ini. Sekiranya wujud, jangkitan dalam komuniti seperti ini agak sukar dibendung kerana ramai yang terlibat daripada isi rumah yang berbeza. Bukan hanya
pengunjung, malahan pekerja pusat membeli belah daripada jurujual, juruwang,
pengawal keselamatan juga boleh terkena jangkitan.
Apabila senarai ini dikeluarkan kerajaan, semua pihak patut cakna dan melakukan
tindakan yang sewajarnya bagi menyokong usaha kerajaan dalam membendung
wabak COVID-19 ini. Pemilik premis-premis haruslah melakukan langkah-langkah
pencegahan bagi mengelakkan kewujudan kluster baharu.
Perketatkan SOP pusat membeli-belah dan hotspot tersenarai
Pada pendapat kami, pusat-pusat membeli belah hendaklah memperketatkan SOP seperti mengenakan had maksima bagi menangani jumlah pengunjung yang ramai pada satu-satu masa. Ini bukan hanya menumpukan kawalan SOP di muka pintu premis sahaja seperti amalan yang biasa dilaksanakan.
Golongan rentan seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai imuniti rendah juga patut dihalang dari memasuki premis. Sekiranya golongan-golongan ini terjangkit, mereka boleh mendapat jangkitan yang serius yang menyebabkan kematian.
Selain itu, kami menyarankan untuk ditempatkan pihak berkuasa seperti anggota-anggota polis di pusat-pusat membeli belah melakukan rondaan bagi tujuan pemantauan dan juga penguatkuasaan undang-undang bagi mengenakan kompaun kepada pengunjung dan pengusaha pusat membeli belah yang tidak patuh kepada SOP.
Pihak premis juga patut melakukan ujian saringan secara massa ke atas pekerja
supaya intervensi awal seperti pengasingan dan rawatan dapat dilaksanakan. Di
samping itu, kerajaan turut mencadangkan untuk sistem gelembung tempat kerja
dan susunan kerja dari rumah diwujudkan. Namun begitu, harus kita ingat bahawa perjuangan memerangi wabak COVID-19 ini bukan tanggungjawab kerajaan dan pihak berkuasa sahaja. Rakyat turut sama memainkan peranan yang penting dalam memutuskan rantaian wabak ini.
Pada hemat kami, rakyat boleh merujuk senarai yang dikeluarkan oleh HIDE ini dan elakkan untuk mengunjungi premis-premis seperti dalam senarai ini walaupun tidak
tersenarai sebagai hotspot pada masa ini. Namun begitu, sekiranya wujud keperluan
untuk mengunjungi premis-premis seperti ini, rakyat tidak harus alpa dan mematuhi
SOP dengan sebaik-baiknya.
Pakai pelitup muka dengan sempurna dan jaga penjarakan sosial. Golongan yang mempunya sistem ketahanan badan yang lemah seperti bayi, kanak-kanak dan
golongan rentan sebolehnya mengelakkan diri dari mengunjungi premis-premis ini.
Sekiranya perlu membelikan pakaian, ukur saiz di rumah dan hadkan hanya ibu atau
bapa sahaja yang keluar membeli. Komunikasi dan perbincangan bersama ahli
keluarga boleh dilakukan menerusi panggilan video untuk pemilihan pakaian.
Selain itu, masyarakat juga disarankan untuk mengehadkan jumlah isi rumah yang
keluar pada satu-satu masa kepada satu atau dua sahaja. Sistem penggiliran
bernombor dan slot temu janji bagi mengunjungi premis-premis membeli-belah juga
akan membantu membendung penularan wabak COVID-19.
Kami khuatir dengan pengumuman hotspot-hotspot ini dan kami harapkan kluster-
kluster baharu tidak akan terjadi dalam keghairahan umat Islam menyambut
Aidilfitri. Kami harapkan agar kepatuhan kepada SOP menjadi amalan semua pihak,
baik daripada masyarakat mahupun peniaga-peniaga dan pemilik-pemilik premis
untuk mencegah penularan COVID-19. Semoga bulan Ramadan dan Hari Raya
Aidilfitri ini adalah yang terakhir kita berhadapan dengan COVID-19.
Penulis: Prof Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia &
Dr. Wan Nur Ira Izyan Wan Izani
Graduan Perubatan
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia