KEPALA BATAS – Seorang wanita terpaksa menerima 10 jahitan pada tangan kirinya ketika mengelak ditikam anak lelakinya dalam kejadian di Taman Orkit Permai di sini semalam.
Kejadian berlaku jam 9.30 malam ketika mangsa berusia 56 tahun itu sedang solat tarawih bersama suaminya di ruang tamu sebelum didatangi suspek berusia 29 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan mendapati suspek telah keluar dari bilik sebelum mengambil dua bilah pisau dan datang ke arah ibu bapanya.
Jelas beliau, suspek memegang dua bilah pisau di tangan kanan dan kirinya sebelum menghalakan ke arah ibunya.
“Sebaik melihat tindakan anaknya itu, suami mangsa menolak suspek sebelum pisau berkenaan terkena pada tangan kiri, kebetulan pula wanita terbabit menggunakan tangan untuk menghalang dirinya dicederakan.
“Suspek terjatuh akibat ditolak sebelum bapnya memegang lelaki itu untuk mengawal keadaan. Tiada sebarang reaksi agresif ditunjukkan sehingga pihak polis tiba di lokasi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut beliau, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan lanjut, namun dibenarkan pulang selepas menerima 10 jahitan pada tangan kirinya.
Kata Noorzainy, hasil keterangan mangsa mendakwa anaknya itu mempunyai masalah gangguan mental sejak tahun 2016 dan masih dalam proses menerima rawatan.
“Selain itu, suspek juga dikatakan sudah lebih setahun berkurung di dalam rumah tanpa bercakap dengan sesiapa.
Mangsa tidak pernah bertindak agresif terhadap ahli keluarga sebelum ini.
“Susulan itu, pihak polis telah merampas dua bilah pisau yang masing-masing berukuran 27 dan 31 sentimeter yang digunakan suspek untuk mencederakan ibunya,” kata Noorzainy.
Suspek yang gagal memberikan sebarang keterangan akan dihantar ke Hospital Jalan Perak untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette