Home Nasional Impian naik kereta polis tercapai, pesakit leukemia meninggal dunia

Impian naik kereta polis tercapai, pesakit leukemia meninggal dunia

Muhammad Firash Arryan. - Foto ihsan IPD SPU

SEBERANG PERAI – Muhammad Firash Arryan Muhammad Yusri, 6, kanak-kanak  menghidap penyakit leukemia yang mencapai impiannya menaiki kereta peronda polis (MPV) pada Mac lalu dilaporkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kanak-kanak itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 3 pagi di Pokok Sena, Kedah.

“Saya mendapat perkhabaran berhubung pemergian arwah daripada keluarga awal pagi tadi.

“Selain dimaklumkan jenazah akan dikebumikan di Pokok Sena yang merupakan kampung halaman ayahnya,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Firash Arryan dibawa menaiki kereta peronda polis pada Mac lalu. – Foto : Ihsan Polis IPD SPU.

Tambah Noorzainy, pihaknya berbesar hati dapat menunaikan impian kanak-kanak yang minat dengan tugas pasukan beruniform itu sebelum ini.

Mac lalu media tempatan melaporkan, hasrat arwah Muhammad Firash Arryan yang ingin menaiki MPV, direalisasikan sempena sambutan Peringatan Hari Polis Ke-214 di Ibu Pejabat Polis Daerah SPU di Kepala Batas di sini pada 25 Mac lalu.

Muhammad Firash Arryan disahkan menghidap leukemia pada awal 2019 dan ia mula merebak ke tulang dan otaknya.

Doktor turut memaklumkan yang hati dan limpa Muhammad Firash Arryan sudah membengkak, turut mengalami pendarahan usus dan lapisan bawah kulit lebam. – MalaysiaGazette