Home Politik Berpolitiklah dengan hujah dan fakta – Salleh

Berpolitiklah dengan hujah dan fakta – Salleh

Salleh Said Keruak.
KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen perlu mempunyai dan menunjukkan kebijaksanaan ketika menyampaikan hujah dan pandangan di dalam Dewan Rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata debat politik di Parlimen adalah untuk menggubal, mempertahan, dan meminda peraturan-peraturan bagi mengatur kehidupan bernegara.

“Bagi anggota Parlimen yang berkualiti, mereka menyampaikan hujah dengan tenang dan berfakta.

“Bagi yang kurang berkualiti, mereka bukan sahaja tidak mempunyai fakta yang baik, tetapi sekadar mempunyai maklumat cakap dengar yang penuh andaian,” katanya menerusi catatan di laman rasmi blog beliau hari ini bertajuk ‘Berpolitiklah dengan hujah dan fakta’.

Salleh berkata berikutan kekurangan kualiti dalam diri anggota Parlimen itu menyebabkan individu berkenaan cuba menarik perhatian apabila berhujah menggunakan maklumat yang tidak kemas hingga cara percakapan sesetengah mereka adalah sama seperti orang menjerit dan menempik.

“Perlakuan sebeginilah yang menyebabkan Dewan jadi tegang dan kecoh. Di luar negara, kekecohan sebegini kadang kala berakhir dengan tindakan melempar kasut, bergaduh dan bertumbuk,” katanya.

Sehubungan itu Salleh berharap agar anggota Parlimen dapat menyampaikan hujah dengan tenang supaya Dewan Rakyat tidak dilihat seperti pasar ikan.

“Jadi, marilah kita lakukannya secara bersama biarpun mempunyai pandangan berlainan demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya.- BERNAMA