PETALING JAYA – Sebanyak lapan pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya akan ditugaskan bagi memantau termasuk melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah ketika Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komissioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pasukan berkenaan ditugaskan khas untuk memastikan tidak ada pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) penularan Covid-19 berlaku khususnya melibatkan larangan kunjung-mengunjung.
“Saya nak ingatkan kepada warga Petaling Jaya agar tiada sebarang aktiviti kunjung mengunjung ketika Aidilfitri ini, sentiasa patuh kepada SOP yang ditetapkan.
“Pihak polis akan menjalankan pemantauan serta pemeriksaan termasuk dari rumah ke rumah bagi memastikan tiada aktiviti kunjung mengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di IPD Petaling Jaya, hari ini.
Fakhrudin memberi jaminan, pelaksanaan pemantauan dan pemeriksaan akan sentiasa perketatkan oleh pasukannya.
“Selepas ini tiada lagi amaran, dan sekiranya terdapat pelanggaran SOP yang ditetapkan, pihak polis akan terus mengambil tindakan kompaun,” tambah beliau.
Sementara itu beliau berkata, setakat ini IPD Petaling Jaya tidak akan menambah jumlah Sekatan Jalan Raya (SJR) di daerah berkenaan.-MalaysiaGazette