KUALA LUMPUR – Keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula pada 12 Mei hingga 7 Jun dibuat berikutan penularan Covid-19 yang dilihat semakin meruncing.
Perkara itu dijelaskan, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah yang memberitahu, dengan jumlah kes harian sekitar 4,000 kes, 38,499 kes aktif dan 1,722 kes kematian dilaporkan setakat hari ini, Malaysia sedang berhadapan dengan kesinambungan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan suatu krisis nasional.
“Meskipun begitu, KKM juga berasa berat hati kerana memikirkan kesannya kepada sektor-sektor lain yang terpaksa ditutup sementara, namun pendekatan ini terpaksa diambil Kerajaan memandangkan penularan Covid-19 didapati semakin meruncing di dalam negara,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Noor Hisham menafikan pengisytiharan darurat oleh kerajaan dilakukan berikutan kegagalan mengawal pandemik Covid-19.
Jelasnya, pengisytiharan darurat sebenarnya membantu pihaknya membuat penilaian mengenai penularan Covid-19, selain menghalang beberapa pilihan raya yang berisiko meledakkan jangkitan.
“Dengan Ordinan Darurat, kita dapat tangguh pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN).
“Kita sudah lihat implikasi PRN Sabah, jangkitannya bermula selepas pilihan raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette