Home Seni Hidup Anak-anak tidak pernah berbaju baharu di Aidilfitri – Ibu tunggal

Anak-anak tidak pernah berbaju baharu di Aidilfitri – Ibu tunggal

Temubual bersama ibu tunggal, Norfadilah Ismail di Taman Damai Indah, Cheras, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Hidup di kota raya sambil membesarkan tujuh orang anak seorang diri bukanlah suatu perkara yang mudah.

Meskipun begitu Norfadilah Ismail, 35 tahun, terpaksa mengharungi liku-liku kehidupannya sebagai seorang ibu tunggal selepas lebih dua tahun bercerai.

Tidak hidup mewah, tidak jugak berada, sebaliknya boleh diibaratkan kehidupannya dengan tujuh anaknya sekadar cukup makan sahaja setiap hari.

Kais pagi makan pagi kais petang, makan petang. Demi menyara anak-anaknya, Norfadilah terpaksa membuat pelbagai kerja termasuklah menjadi penghantar barangan (runner), mengambil upah membersihkan rumah dan menjadi pengawal keselamatan.

“Tidak selalu, kalau ada orang panggil barulah ada, sekali kalau buat semua kerja dapat seminggu, sebulan, RM350 tidak tentu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Namun semua kerja yang dilakukannya itu hanyalah secara sambilan kerana anak kecilnya yang berusia empat tahun masih memerlukan penjagaannya.

Kini, usahanya demi mencari rezeki untuk anak-anak terhalang apabila motosikal yang merupakan satu-satunya kenderaan yang dimilikinya, rosak sejak tiga minggu yang lalu.

Ekoran itu, Norfadilah kini tidak lagi dapat melakukan kerja sambilan untuk mencari sesuap nasi buat tujuh anak-anaknya.

Norfadilah Ismail bermesra dengan anak-anaknya di Taman Damai Indah, Cheras, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2021.

Bagaimanapun, beliau boleh menarik nafas lega apabila bekas suami membantunya membayar sewa rumah, bil air dan bil api setiap bulan.

Ibu tunggal itu juga menganggap dirinya bertuah apabila sering menerima sumbangan keperluan asas daripada pelbagai pihak yang prihatin terhadap kehidupan mereka lapan beranak.

“Barang dapur, makanan, barangan asas memang tidak putus rezeki ada sahaja yang memberi cuma saya sekarang sukar dari segi kewangan,” tambahnya ketika ditemui menerusi program MG Prihatin di kediamannya di Damai Indah baru-baru ini.

Namun begitu, terbit rasa sedih apabila sebagai seorang ibu, Norfadilah terpaksa menerima hakikat beliau tidak mampu menyediakan kelengkapan raya untuk tujuh anaknya.

Naluri ibu tunggal itu semakin runtun apabila anak-anaknya bertanyakan, adakah mereka dapat menyarung busana baharu pada Aidilfitri kali ini.

“Anak-anak memang tidak ada baju raya sudah beberapa tahun, tiap-tiap tahun tidak ada yang ada sekarang sumbangan sahajalah saya sendiri tidak beli.

“Budak-budak memang minta tapi saya beritahu kalau ada duit belilah,” katanya lagi.

Meskipun hidup dalam serba kekurangan, namun beliau tetap bertekad untuk meneruskan kehidupan bersama-sama tujuh anaknya berbekalkan semangat dan kesyukuran.

Mana-mana pihak yang ingin meringankan beban ibu tunggal berkenaan boleh menghubunginya di talian 011-21834785 atau menghulurkan bantuan menerusi sumbangan wang yang boleh disalur ke akaun banknya iaitu 6921380715 (Public Bank).-MalaysiaGazette