TEL AVIV – Kumpulan Hamas telah melancarkan serangan roket ke Tel Aviv, dan mengenai sebuah bangunan menyebabkan sekurang-kurangnya seorang terbunuh, menurut laporan media Israel.
Penduduk bertempiaran menuju ke tempat perlindungan dan siren dibunyikan ketika letupan meletus di seluruh bandar pada petang Selasa.
Menurut kenyataan Hamas, kumpulan itu melancarkan 130 roket ke arah Tel Aviv dan pinggar bandar itu berikutan ketegangan dengan Israel yang meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini yang menyaksikan keganasan paling teruk sejak peperangan pada 2014.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, kumpulan itu ‘akan menerima akibat kerana bersifat agresif’ manakala Menteri Pertahanannya memberi amaran ‘bangunan akan terus runtuh di Gaza’, lapor Sky News.
Video yang disiarkan di laman media sosial menunjukkan sistem pertahanan Israel, Iron Dome, memintas roket Hamas di ruang udara Tel Aviv dan bandar Ashkelon yang terletak di selatan negara itu.
Sasaran serangan ke atas bangunan berlaku di pinggir bandar Holon yang mana seorang wanita Israel berusia 50 tahun mati, menurut agensi kesihatan tempatan.
Selain itu Lapangan Terbang Ben Gurion yang terletak dekat Tel Aviv ditutup dan dibuka semula pada jam 10 malam waktu tempatan.
Saluran paip minyak yang menghubungkan Eliat dan Ashkelon juga terkena serangan roket, lapor rangkaian televisyen, Channel 12.
Seorang warga emas warga Israel dan penjaganya warga India disahkan meninggal dunia dalam serangan Hamas ke atas Ashkelon.
Kematian tersebut berlaku selepas jet pejuang, helikopter dan dron Israel menyerang lebih 130 ‘sasaran ketenteraan Hamas’ di Gaza, termasuk kediaman komandan Hamas, menurut tentera Israel.
Seramai 35 penduduk Palestin, termasuk 10 kanak-kanak, meninggal dunia berikuran serangan tersebut , menurut Kementerian Kesihatan, dengan sebuah bagunan 13 tingkat runtuh. – MalaysiaGazette