JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dengan penangkapan dua individu yang membawa kepada rampasan pelbagai jenis arak dan barangan bernilai RM9.56 juta pada Isnin lalu.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, dua individu yang ditahan itu adalah seorang lelaki tempatan dan seorang warga Myanmar berusia 25 dan 35 tahun.
Menurutnya, serbuan Op Kontraban itu dibuat pada jam 6.10 pagi di sebuah premis di Taman Desa Idaman, Senai, di sini melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
“Dalam serbuan itu, polis telah menahan dua individu yang dipercayai terlibat secara langsung dalam aktiviti penyeludupan minuman keras dipercayai arak tiruan dan tidak bercukai.
“Hasil dari tangkapan itu, kita telah berjaya merampas 93 tong drum berisi 18,600 liter arak tiruan, 17 gelen mengandungi 340 liter pati campuran arak dan 5,419 botol atau 4,138.84 liter arak yang dipercayai tidak mempunyai cukai kastam.
“Selain itu, kita turut merampas sebuah van jenis Toyota Hiace, lima water pump, beberapa gulung stiker kastam dipercayai palsu dan dua bench drilling yang dipercayai terlibat dalan aktiviti penyeludupan minuman keras, dengan nilai rampasan keseluruhan RM9.56 juta,” katanya dalam sidang media khas di Senai, di sini. – MalaysiaGazette