KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terpaksa membetulkan kesilapan seorang peserta warga asing pada persidangan antarabangsa yang menyangka beliau Perdana Menteri.
Kejadian ketika beliau sedang menyampaikan ucapan pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa Ulama yang berlangsung di Universiti Teknologi Malaysia di sini.
Dalam ucapanya Ahmad Zahid mengumumkan
sebuah Pusat Sufi Global akan dibangunkankan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, pusat itu akan akan dibina dengan sumbangan sebanyak USD1 juta (RM4.3 juta) yang didermakan oleh seorang dermawan yang tidak dinamakannya.
Mendengar pengumuman itu, peserta tersebut yang merupakan antara 130 mufti dan ulama dari 38 negara, menjerit dengan melaungkan “Terima kasih, Perdana Menteri!”
Lantaran itu, Ahmad Zahid segera memotong dengan mengingatkan kepada hadirin beliau bukan Perdana Menteri.
“Saya hanya timbalannya, saya membantu beliau, saya sangat setia kepadanya dan saya akan pastikan agenda kesederhanaan yang dipromosikan akan diterapkan dalam sistem kami.
“Saya membantunya dan saya berjanji bahawa saya akan terus membantunya sebagai timbalannya,” tambah Ahmad Zahid yang kemudiannya mendapat tepukan gemuruh dari peserta yang berada di auditorium.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, umat Islam perlu berpandukan ulama dan mempunyai tanggungjawab moral untuk membetulkan prasangka dan persepsi salah terhadap agama.
Kata, ini termasuk Islamophobia dan tuduhan bahawa Islam mempromosikan keganasan.
“Ia adalah tanggungjawab moral kita untuk membetulkannya dan memberitahu dunia bahawa Islam adalah agama yang melindungi keamanan,” katanya.
Persidangan tiga hari, yang bermula pada Rabu lau, dianjurkan oleh Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama).
Dalam ucapannya juga Ahmad Zahid berkata, Malaysia akan terus menyokong intifadah penduduk Palestin walaupun dilaporkan Masjid Al-Aqsa berjaya dibebaskan daripada sekatan rejim Zionis dan menyeru semua negara Islam bersatu mempertahankan Palestin daripada kekejaman Israel.
Ujarnya, Malaysia bersama negara Islam lain akan terus menentang cubaan untuk memindahkan ibu negara Israel daripada Tel Aviv ke Baitul Maqdis selain berusaha menubuhkan sebuah negara Palestin yang berdaulat.
Jelasnya, Malaysia tidak berniat mahu bermusuhan dengan bangsa Yahudi atau menentang negara-negara jiran menjalinkan hubungan dengan Israel tetapi menolak tindakan Israel yang terus menekan rakyat Palestin.
“Malaysia akan terus menyokong Palestin dalam menuntut hak mereka dan kita semua perlu bersatu hati untuk menentang kekejaman Israel.
“Pada masa sama, kita harus berpandukan al-Quran yang menggalakkan keamanan dan kita mengikis unsur-unsur ektremis yang telah mencemarkan Islam terutamanya oleh Daesh,” katanya. – MalaysiaGazette