KUALA LUMPUR – Malaysia perlu mencatat sekurang-kurangnya 10% pada ketiga-tiga suku untuk mencapai unjuran 7.5% pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pemulihan ekonomi oleh Perikatan Nasional (PN) bagi tahun 2021.
Sama ada pertumbuhan 10% untuk tiga suku berikutnya boleh dicapai masih belum dapat dilihat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 baharu telah dilaksanakan dari 12 Mei hingga 7 Jun 2021.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ketika Belanjawan 2021 dibentangkan pada bulan November tahun lalu, Kerajaan PN berharap pemulihan ekonomi akan mula menunjukkan pertumbuhan KDNK pada suku pertama 2021 ketika merujuk KDNK suku pertama 2020 yang rendah pada 0.7% disebabkan PKP 1.0. PKP 1.0 (18 Mac-3 Mei 2020).
Ketika itu ekonomi mengalami kerugian sebanyak RM2 bilion sehari, sementara PKP 2.0 (13-26 Jan, 2021) dan PKP 3.0 masing-masing diunjurkan akan menyebabkan kerugian ekonomi sebanyak RM300 juta sehari.
Menurut beliau, sekiranya PKP 2.0 selama dua minggu boleh mengubah pertumbuhan KDNK suku pertama yang dijangkakan positif bertukar negatif, maka PKP 3.0 yang dua kali lebih lama daripada PKP 2.0, akan mempengaruhi pertumbuhan KDNK 10% yang diperlukan untuk baki tahun ini.
“Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz terlalu optimis dan oleh itu tidak realistik apabila dia mengatakan bahawa PKP 3.0 tidak akan mempunyai kesan ekonomi yang signifikan dan mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 7.5%.
”Ramai di sektor pelancongan atau runcit, termasuk peniaga Bazar Ramadan, akan tidak setuju dengan Tengku Zafrul. Adakah ini bermaksud tidak akan ada langkah-langkah kewangan atau ekonomi untuk membantu rakyat?,” soal Guan Eng.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Tengku Zafrul juga mengatakan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 akan mendorong pertumbuhan serta daya tahan ekonomi sedangkan realitinya kadar vaksinasi sangat perlahan dengan kurang dari satu juta rakyat Malaysia atau hanya 3% yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Pada kadar sekarang, negara ini memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk memberikan sekurang-kurangnya satu dos kepada 80% penduduk.
Dakwanya, ini menjadikan sasaran bulan Disember tahun ini untuk memvaksinasi 80% daripada 32 juta penduduk Malaysia adalah hampir mustahil.
“Kerajaan perlu berterus-terang mengapa rakyat tidak mendapat manfaat sepenuhnya dari RM622 bilion yang dibelanjakan melalui pelbagai pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan 2021.
”Secara teknikal, RM622 bilion itu sepatutnya membolehkan setiap rakyat Malaysia menerima lebih daripada RM19,000 manfaat selama setahun. Di manakah manfaat RM19,000 untuk setiap rakyat Malaysia yang dapat membantu menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan mata pencarian ekonomi?,” tanyanya lagi.
Kata Guan Eng, kerajaan perlu ada pakej rangsangan ekonomi yang baharu yang memberi manfaat kepada rakyat secara terus, terutamanya pelanjutan automatik moratorium pinjaman bank (kecuali 20 Teratas), pemberian komputer riba, program penciptaan pekerjaan dengan insentif kewangan untuk pekerja dan majikan serta menaikkan bayaran bulanan bantuan kebajikan kepada RM1,000, termasuk golongan penganggur. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
PKP 3.0 dijangka tak beri impak signifikan kepada pertumbuhan ekonomi – Tengku Zafrul