KUALA LUMPUR – Sempena ulang tahun ke-50, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) mengukuhkan komitmen menjayakan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021 hingga 2025 (TransKom) dan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).
Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ia bagi membantu merealisasikan agenda untuk memacu gerakan koperasi sebagai pemangkin pertumbuhan sosioekonomi yang seimbang, inklusif dan mampan selain menyumbang sebanyak RM60 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2025.
“50 tahun melakar kejayaan, ANGKASA akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan gerakan koperasi serta komited untuk meneraju dan melaksana inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 agar institusi ini terus berdaya maju dan kekal relevan dalam menghadapi cabaran masa hadapan terutamanya dalam persekitaran pandemik Covid-19 serta terus berperanan sebagai instrumen pengagihan ekonomi yang adil dan saksama demi kesejahteraan untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Abdul Fattah, ANGKASA mencapai usia jubli emas setelah melalui pelbagai rintangan dan fasa yang membawa kepada kejayaan memperkasa gerakan koperasi setelah 50 tahun penubuhannya.
Terdahulu, beliau berkata, mengangkat tema ‘Menjulang Aspirasi Koperasi’, ANGKASA menekankan amalan dan jati diri gerakan koperasi itu sendiri iaitu ‘Bekerja Bersama-sama Demi Manfaat Bersama’.
“Ini akan menyemarakkan semangat para koperator untuk menambah ilmu, meningkatkan kemahiran dan membudayakan koperasi sebagai gaya hidup agar gerakan koperasi akan terus menyumbang kepada kesejahteraan sosioekonomi negara demi kemakmuran bersama,” katanya.
Melihat kepada kepelbagaian sektor ekonomi yang boleh diceburi oleh koperasi, ANGKASA menubuhkan lapan sektor peneraju pembangunan perniagaan koperasi yang memfokuskan kepada sektor perniagaan berimpak tinggi termasuk sektor kewangan, sektor pertanian dan industri asas tani.
Selain itu, sektor perladangan, pembangunan komuniti, inovasi dan teknologi, pemborongan dan peruncitan, hartanah dan industri binaan serta pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan juga diceburi oleh koperasi yang menjadi ahli-ahli ANGKASA.
“ANGKASA menjalankan projek perniagaan berbentuk inkubasi melalui Projek Pemerkasaan Koperasi (CEP) di mana perniagaan yang berkembang maju akan diserahkan kepada koperasi yang berpotensi untuk diuruskan secara kerjasama strategik.
“Kesejahteraan sosioekonomi masyarakat sememangnya menjadi salah satu tunjang utama dalam perjuangan ANGKASA. Oleh yang demikian ANGKASA giat membantu memperkasa koperasi berasaskan komuniti supaya pada akhirnya komuniti masyarakat tersebut dapat berdiri di atas kaki sendiri dan meningkatkan tahap ekonomi serta memenuhi keperluan sosial melalui platform koperasi,” katanya.
Antara yang menjadi perhatian ANGKASA adalah pembangunan perniagaan Koperasi Kariah Masjid kerana kewujudan masjid dan surau di setiap kawasan dapat digembeleng untuk mewakili dan membantu sesebuah komuniti.
Koperasi Kariah Masjid perlu merebut peluang tersedia dalam industri produk halal yang mempunyai sasaran nilai eksport halal sebanyak AS$100 bilion (RM417 bilion) menjelang tahun 2030. Koperasi juga harus menerokai konsep kewangan Islam yang sedang diimplementasi secara meluas dalam dunia kewangan pada masa kini. Ianya merupakan satu ruang yang perlu diisi oleh koperasi bagi mengekalkan momentum daya saing gerakan ini.
Gerakan koperasi sekolah juga menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan di bawah bimbingan ANGKASA. Model koperasi sekolah yang amat unik dan hanya wujud di negara ini menjadi rujukan negara luar bagi pembangunan modal insan generasi muda.
Koperasi sekolah memberi peluang kepada pelajar meningkatkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan koperasi dan pengurusan perniagaan untuk membentuk pemimpin masa hadapan yang dinamik.
Sehingga bulan Jun 2020, terdapat 2,444 buah koperasi berbanding sembilan (9) buah koperasi sekolah yang mula ditubuhkan pada tahun 1968.
Sehingga Disember 2019, perolehan koperasi sekolah ialah sebanyak RM421.11 juta. Sehingga kini telah terdapat 12 buah koperasi sekolah yang telah mencapai perolehan melebihi RM1 juta.
Ini menunjukkan gerakan koperasi sememangnya mempunyai potensi yang besar jika mempunyai pelan dan strategi yang betul dalam mengemudi perniagaannya.
Selain menjadi suara dan menggerakkan koperasi dalam negara, ANGKASA turut bergerak aktif di persada antarabangsa.
Sejak tahun 1972, ANGKASA menjalinkan hubungan baik dengan badan induk gerakan koperasi dunia, International Cooperative Alliance (ICA) serta giat meningkatkan kerjasama strategik dengan koperasi luar negara dan badan berkepentingan bagi membuka ruang kepada gerakan koperasi negara meluaskan pasaran perniagaan ke peringkat global.- MalaysiaGazette