Home Nasional Hampir keseluruhan penduduk daerah Timur Laut patuhi SOP

Hampir keseluruhan penduduk daerah Timur Laut patuhi SOP

Soffian (dua dari kanan) meluangkan masa bersama anggota bertugas di SJR Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Jelutong hari ini.

GEORGE TOWN – Polis berpuas hati dengan kepatuhan yang ditunjukkan penduduk daerah Timur Laut susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, rata-rata penduduk patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, namun masih ada segelintir yang leka dalam memastikan mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki sesebuah premis.

Soffian.

“Penduduk sekitar daerah ini terdiri hampir 57 peratus daripada bangsa Cina serta lebih 20 peratus umat Islam.

“Secara keseluruhan memang rata-rata mematuhi peraturan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dalam memerangi Covid-19 dan pihak polis berpuas hati dengan pematuhan yang ditunjukkan.

Soffian memeriksa dokumen seorang pemandu yang melalui SJR Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Jelutong di sini hari ini.

“Bagaimanapun masih ada kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak imbas MySejahtera serta memakai pelitup muka di daerah ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di SJR Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Jelutong di sini hari ini.

Terdahulu Soffian mengunjungi beberapa balai polis sekitar daerah Timur Laut untuk menyampaikan bingkisan raya kepada anggota yang bertugas hari ini.

Soffian menyampaikan bingkisan raya kepada anggota bertugas di Balai Polis Pulau Tikus hari ini.

Jelas Soffian, bingkisan raya itu disampaikan sebagai tanda penghargaan selain pemangkin semangat kepada pegawai serta anggota polis yang tidak dapat cuti serta pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri demi melaksanakan kewajiban menjaga keamanan negara.

Mengulas mengenai operasi di Sekatan Jalan Raya (SJR), Soffian menegaskan sebanyak lima SJR didirikan bagi memastikan tiada pergerakan rentas daerah serta negeri dilakukan tanpa kebenaran pihak polis.

“Kebanyakan pengguna jalan raya hanya merentas daerah bagi tujuan bekerja serta kecemasan berdasarkan hasil soal siasat di lokasi SJR.

“Jalan turut kelihatan lengang dan tiada sebarang kompaun dikeluarkan untuk hari ini,” ujar Soffian.

Sehubungan itu, Soffian turut mengingatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan agar rantaian penularan wabak Covid-19 dapat diputuskan. – MalaysiaGazette