MASYARAKAT Malaysia menyambut perayaan Aidilfitri dan ini merupakan kali kedua
sambutan lebaran dalam norma baharu susulan pandemik COVID-19. Perintah Kawalan
pergerakan yang dijalankan ini paling dirasai warga kota yang ingin pulang ke desa. Malah ribuan kenderaan yang cuba merentas negeri terkandas dan diarah untuk berpatah balik. Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tiga negeri iaitu Selangor, Melaka, Negeri Sembilan mencatatkan jumlah rentas negeri paling tinggi. Justeru, perayaan Aidilfitri kali ini disambut di teratak masing-masing bersama keluarga.
Rata-rata individu pasti bersedih kerana tidak dapat menjenguk ibu, bapa, datuk, nenek di kampung halaman mahupun berkunjung dalam acara rumah terbuka. Namun demikian, usah terus berduka kerana setiap yang berlaku pasti berkunjung hikmah disebaliknya. Sesungguhnya Allah SWT maha mengetahui yang terbaik buat setiap hambaNya. Hal ini dinyatakan dalam Surah al-Baqarah, ayat 216 yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak tahu”.
Sambutan perayaan Aidilfitri perlu diraikan tanpa bersedih walaupun masyarakat masih bergelut dengan pelbagai isu, masalah dan ketidaktentuan ekoran wabak COVID-19 yang melanda. Ramadan yang dilalui menjadi asbab kukuh untuk terus bertahan diuji dan menjadi proses tarbiyah (didikan) untuk diri. Kejayaan menjalani ibadah puasa dan melaksanakan tuntutan rukun Islam ini perlu dizahirkan dengan kesyukuran dan bahagia. Meskipun syawal yang hadir dilihat berbeza kerana aktiviti kunjung-mengunjung dihadkan, namun ia hendaklah diterima dengan berlapang dada seiring dengan adaptasi norma baharu yang memerlukan aspek penjarakan fizikal menjadi salah satu prosedur yang mesti dipatuhi oleh semua.
Walaupun ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman menyambut perayaan bersama ayah dan bonda, mereka perlu sentiasa berfikiran positif bahawa perintah kawalan yang dilakukan bertujuan untuk mencapai kemenangan melawan virus pembunuh COVID-19 dari tersebar luas, apatah lagi tersebar kepada insan tersayang.
Hakikatnya bahagia ini adalah apa yang dirasa, difikir dan dilalui.
Hakikatnya bahagia ini adalah apa yang dirasa, difikir dan dilalui. Bahagia dapat mencetuskan emosi yang positif dalam diri dan orang sekitar. Oleh itu, adalah penting untuk setiap individu sama ada ibu, bapa dan ahli keluarga sentiasa berusaha untuk mencetuskan rasa bahagia dalam atmosfera keluarga dan kediaman mereka.
Salah satu aspek bahagia ini boleh digarap dengan menyuntik elemen syukur (gratitude) dalam diri. Raikan Aidilfitri dengan penuh makna melalui rasa syukur atas segala nikmat yang diperolehi seperti nikmat kesihatan, nikmat kasih sayang bersama ahli keluarga, nikmat makanan dan apa sahaja yang dimiliki hingga kini. Bahkan, sambutan syawal ini juga adalah lambang kesyukuran dan kegembiraan pada hari kemenangan setelah menjalani ibadah puasa dibulan Ramadan yang merupakan bulan pembersihan jiwa.
Sambutan perayaan yang ditekankan dalam Islam adalah bersederhana dan sentiasa mengingati kepada mereka yang kurang bernasib baik. Elemen kesederhanaan ini juga sebenarnya melahirkan rasa bahagia kerana tanpa perlu berlebih-lebihan, menghabiskan wang ringgit dan membazir dalam membeli-belah yang bukan keperluan utama. Meskipun begitu, Aifilfitri perlu diraikan dengan meriah bersama ahli keluarga.
Hal ini dapat dilakukan dengan menyantuni tetamu terdekat yang berkunjung ziarah dari kalangan jiran, memasak juadah kesukaan, mencipta ‘mood’ raya dalam keluarga dengan bergotong-royong membersihkan dan menghiasi rumah serta lain-lain aktiviti rutin menjelang lebaran yang dilakukan bersama. Keterlibatan setiap anggota keluarga ini melahirkan rasa kebersamaan dan mengeratkan lagi ikatan sesama ahli keluarga
sekali gus mencipta memori bahagia.
Peribahasa Melayu ada menyatakan ‘bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana
muafakat’. Begitu jugalah dalam melawan penyebaran wabak COVID-19 ini, setiap individu adalah bertanggungjawab dan perlu berganding bahu menyahut setiap saranan yang dikemukakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan Malaysia umumnya bagi menangani krisis kesihatan yang sedang berlaku.
Hal ini kerana, kepentingan kolektif (bersama) adalah lebih utama berbanding kepentingan individu. Oleh yang demikian, PKP 3.0 menjelang perayaan perlu difahami dengan baik dan kemeriahan Aidilfitri juga perlu disambut dengan suntikan rasa bahagia. Semestinya bahagia itu bukan terletak pada hari tertentu tetapi ia ada dalam diri setiap individu yang perlu dibangunkan dan dilazimi dengan aktiviti yang mencetuskan fikiran dan emosi yang positif. Kesimpulannya, Aidilfitri pada kali ini hendaklah di lalui dengan hati yang cekal, tenang dan sentiasa dizahirkan dengan kesyukuran supaya memperolehi ketenteraman jiwa dan rasa bahagia.
Oleh: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)