Home Nasional CAP cadang rotan individu langgar SOP Covid-19

CAP cadang rotan individu langgar SOP Covid-19

Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) cadang mengenakan hukuman rotan terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian wabak Covid-19 dalam negara.

Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow berkata, langkah itu wajar diambil memandangkan kes positif Covid-19 menunjukkan peningkatan ketara walaupun kadar kompaun dinaikkan.

Subbarow.

Jelas Subbarow, walaupun setiap hari kerajaan mengulangi SOP Covid-19 yang perlu dipatuhi semua lapisan masyarakat namun masih ada yang degil dan ia terbukti apabila setiap hari ada kompaun dikeluarkan pihak berkuasa.

“Tidak kira berapa banyak mereka didenda, orang dewasa atau berusia masih dilihat berkunjung ke pusat hiburan, pesta ulang tahun dan pub sehingga subuh.

“Sehubungan itu, hukuman rotan perlu dikenakan terhadap mereka yang didapati melanggar SOP sebagai satu langkah berkesan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan lain, Subbarow menggingatkan orang ramai supaya tidak berkunjung ke pasar awam setiap hari bagi mencegah penularan Covid-19.

Jelas beliau, semakin ramai warga emas dan kanak-kanak dilihat mengunjungi pasar awam, sekali gus menunjukkan seolah-olah mereka sudah tidak peduli mengenai penularan Covid-19.

“Kita lihat pengguna pergi ke pasar setiap hari bagi membeli sayur-sayuran dan bahan lain untuk memasak namun ada yang menghabiskan masa berjam-jam di pasar hanya untuk membeli satu barang.

“CAP percaya penularan Covid-19 boleh menurun sekiranya pengguna tidak berkunjung ke pasar awam dengan kerap atau setiap hari.

“Kehadiran orang awam di lokasi tumpuan harus dibendung jika tidak kita akan dibelenggu lonjakkan kes Covid-19 lebih daripada 5,000 setiap hari,” ujar Subbarow. – MalaysiaGazette