Home Utama Henti spekulasikan kematian Allahyarham Haziq – Reezal

Henti spekulasikan kematian Allahyarham Haziq – Reezal

Reezal Merican Naina Merican bertemu dengan isteri dan keluarga Allahyarham Mohd Haziq Kamaruddin. foto FB Reezal Merican Naina Merican

PUTRAJAYA – Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican kesal dengan tindakan segelintir pihak yang cuba mengaitkan kematian Allahyarham Mohd Haziq Kamarudin, atlet pemanah program podium negara dengan pengambilan vaksin Covid-19.

Menteri Belia dan Sukan itu menyifatkan pihak yang menyebarkan dakwaan tersebut sebagai satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.

“Saya mohon tidak sebarkan berita yang tidak benar. Saya serta 242 orang atlet termasuklah Allahyarham Haziq turut mengambil vaksin yang sama.

“Kita beri ruang supaya pihak hospital buat bedah siasat dan jangan timbulkan sebarang spekulasi yang tidak wajar,” katanya dalam pesanan menerusi status Facebook miliknya sebentar tadi.

Haziq yang sedang dalam persiapan ke sukan Olimpik Tokyo 2020 telah kembali ke rahmahtullah pagi tadi.

Beliau menyarankan semua pihak supaya menghormati  perasaan keluarga Allahyarham yang sedang melalui detik yang mendukacitakan, apatah lagi semasa sambutan hari kedua lebaran.

Katanya, sebarang perkembangan lanjut berhubung Allahyarham akan dimaklumkan oleh kementerian itu kepada umum.

Terdahulu dalam satu kenyataan rasminya hari ini beliau merakamkan takziah atas pemergian atlet berwibawa itu.

Menurut beliau, pihak KBS mendapat perkhabaran duka itu pagi tadi.

“Sebak dan sayu melihat wajah isteri Allahyarham, Shahira dan keluarga yang dikejutkan dengan pemergian Allahyarham pada Syawal ke-2 ini.

“Arwah merupakan salah seorang atlet senior daripada kontinjen Malaysia yang telah membawa nama negara ke London pada 2012 dan Rio 2016 dan juga penyumbang pingat emas pada Sukan SEA serta pingat gangsa di Kejohanan Memanah World Cup di Salt Lake City pada 2018.

“Allahyarham juga sedang dalam persiapan kelayakan ke Sukan Olimlik Tokyo 2020 melalui Kejohanan 2021 Hyundai World Cup Archery, Stage 3 dan Final Olympic Qualification Tournament pada 16 Jun 2021 di Perancis,” ujarnya.

Beliau secara peribadinya mewakili seluruh warga KBS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta keluarga sukan memanah atas pemergian ini.

“Ini merupakan masa-masa yang sukar buat keluarga dan saya berharap kita sentiasa memberikan simpati serta empati kita kepada keluarga Allahyarham.

“Sesungguhnya ini juga merupakan satu kehilangan yang besar buat kita semua namun kita juga redha dengan ketentuan Allah Taala,” tegasnya.-MalaysiaGazette