Home Nasional Mayat pekerja pam pasir tersangkut di Sungai Karak

Mayat pekerja pam pasir tersangkut di Sungai Karak

Mayat pekerja pam pasir yang terjatuh ke dalam sungai ditemui oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat lebih kurang 400 meter dari lokasi kejadian.

KUANTAN – Mayat seorang warganegara asing yang dilaporkan lemas dan dihanyutkan air sungai dua hari lalu ditemui tersangkut di tepi Sungai Karak, Bentong.

Ketua polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, mayat pekerja pam pasir dikenali Shahin, 38, ditemui oleh pasukan penyelamat lebih kurang 400 meter dari lokasi kejadian.

“Pada 12 Mei 2020, hari Rabu, lebih kurang jam 4.50 petang, pihak polis menerima panggilan dari orang awam memaklumkan seorang lelaki warganegara asing telah dihanyutkan air sungai.

“Ketua Polis Balai Karak bersama anggotanya yang hadir ke tempat kejadian mendapati seorang warganegara asing telah dihanyutkan air sungai semasa membuat kerja di tapak projek pam pasir batu 4 1/2 Sungai Pertang, Karak.

“Sejurus selepas itu Ketua Polis Balai Karak mendapatkan bantuan pasukan bomba untuk menjalankan misi pencarian,” kata Zaiham ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Mangsa dihanyutkan air sungai semasa membuat kerja di tapak projek pam pasir batu 4 1/2 Sungai Pertang, Karak

Tambahnya pada hari yang sama, jam lebih kurang 9 malam, pihaknya mendapat makluman daripada orang awam bahawa telah menjumpai satu mayat tersangkut di tepi Sungai Karak.

“Pasukan bomba dan penyelamat turun ke sungai namun keadaan gelap dan air sungai yang deras menyebabkan misi pencarian tidak dapat diteruskan dan ditangguhkan pada keesokan hari.

“Pada 13 Mei, jam lebih kurang 9 pagi, pasukan bomba dan penyelamat turun semula ke sungai dengan menaiki bot bomba.

“Lebih kurang 500 meter dari tempat kejadian, satu mayat telah ditemukan tersangkut di tepi Sungai Karak.

Jelasnya, tiada kecederaan ditemui pada tubuh mangsa dan mayat telah dihantar ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat.

Hasil bedah siasat oleh pegawai perubatan mendapati punca kematian disebabkan lemas. – MalaysiaGazette