Home Nasional Swasta main peranan semarakkan sambutan Merdeka – KKMM

Swasta main peranan semarakkan sambutan Merdeka – KKMM

Timbalan Ketua Setiausaha (DASAR) Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Mohid Mohamed (dua kiri) diiringi Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Ibrahim Abdul Rahman (dua kanan) membantu pengunjung yang terdiri dari kanan-kanak menyusun teka-teki gambar pada Majlis Perasmian Program "MyMerdeka" bersempena bulan kebangsaan di Mydin USJ Subang Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 29 JULAI 2017

SUBANG – Pihak swasta di negara ini disarankan supaya memainkan peranan proaktif dalam menyemarakkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 negara 31 Ogos ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Mohid Mohamed berkata, tanggungjawab menyemarakkan sambutan kemerdekaan tidak seharusnya diletakkan pada bahu kerajaans semata-mata.

“Kita hari ini melancarkan program ‘My Merdeka’ ini dengan kerjasama gedung membeli belah terkemuka negara Mydin Mall untuk mendekatkan rakyat mengenai patriotik negara menjelang kemerdekaan.

“Kebetulan Mydin juga meraikan ulang tahun penubuhan premis itu ke-60 tahun juga, dan ini segala promosi My Merdeka hari ini akan membantu menyemarakkan lagi sambutan Kemerdekaan dalam kalangan rakyat jelata di negara ini.

“Selain Mydin USJ, empat lagi lokasi Mydin yang akan meraikan sambutan kemerdekaan My Merdeka ialah di Mydin Mall Bukit Mertajam, Mydin di Gong Badak, Terengganu, Mydin di Air Keroh Melaka dan Mydin di Meru Permai Ipoh,” katanya dalam sidang media di sini.

Beliau mewakili Menteri Datuk Seri Salleh Said Keruak melancarkan Program My Merdeka menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 tahun negara di pusat membeli belah Mydin Mall, Subang USJ di sini.

Tambah beliau program ini akan diadakan sehingga 16 September iaitu sambutan Hari Malaysia.

Ujarnya, pelbagai aktiviti mempromosikan sambutan kemerderkaan dalam kalangan pemuda pemudi dan rakyat adalah menerusi pertandingan menghias premis, rumah dan bangunan yang menyediakan hadiah wang tunai RM10,000 untuk dimenangi.

“Kerjasama kita dengan Mydin Mall untuk mendekati rakyat khususnya pengunjung pelbagai peringkat usia di sini menyemarakkan semangat kemerdekaan yang kita kecapi pada tahun 1957.

“Ia juga usaha kami untuk memperkuatkan semangat kekitaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, taat setia kepada raja dan negara sejajar dengan tema program iaitu Negaraku Sehati Sejiwa.

“Program sehenti ini turut disertai Jabatan Penerangan, dan pelbagai agensi kerajaan lain untuk mempromosikan produk khidmat dalam talian termasuk informasi kemerdekaan negara kepada pengunjung,” ujarnya.

Justeru ujar beliau, pengunjung juga akan dibawa melawat terowong masa untuk mengenang kembali sejarah dan jerih perit pejuang kemerdekaan sehingga status negara maju dicapai.

“Tidak kenal maka tidak cinta. kesedaran perlu dipupuk dari awal lagi kerana pemikiran cetek dan dangkal boleh memecahbelahkan rakyat.

“Ia sekaligu membawa kepada situasi hina negara dan pemimpin dan sistem demokrasi negara, maka rakyat terlebih dahulu wajib kenal erti jati diri dan kedaulatan.

“Saya seru orang ramai supaya kita jaga imej negara dan janganlah sesekali cemari imej negara dan sengaja mencalar nama baik dengan kata-kata kesat atau sabotaj usaha murni.

“KIta bersama-sama elak pemikiran sempit dan sifat asyik bertelagah kerana kita berhak menikmati kesejahteraan negara tanpa prejudis perkauman demi mencapai 2020 dan TN50,” tegasnya. – MalaysiaGazette