PASTI ramai yang mengalir air mata di saat Majlis Keselamatan Negara mengumumkan
seluruh negara tidak dibenarkan merentas negeri dan daerah. Ada yang tidak dapat menahan kemarahan lalu melempiaskan kata-kata yang terlintas di fikiran terus ke muka media sosial. Maka ramailah yang menjawab sama ada setuju atau tidak. Lantas terus viral dikongsikan oleh banyak pihak.
Namun, apakah untungnya melepaskan kesedihan dan kemarahan anda di situ? Perlu
difikirkan di bulan Ramadan yang mulia ini adakah wajar kita bertindak sedemikian? Seharusnya di bulan penuh mulia ini, kita berusaha untuk menambah dan mengumpulkan pahala sebanyak mungkin. Disamping itu kita perlulah mengelakkan perlakuan atau percakapan yang mungkin akan mengurangkan pahala puasa ataupun yang mengundang dosa.
Rakyat harus sedar apakah situasi negara kini. Bandingkan kes pada Aidilfitri setahun lepas dengan tahun ini. Kes lebih teruk dan semakin parah. Malah fasiliti kementerian kesihatan terutama untuk merawat pesakit covid juga semakin kritikal. Kakitangan barisan hadapan pelbagai peringkat dan jabatan sentiasa berusaha sehabis baik untuk membendung penularan penyakit Covid-19 ini.
Maka seharusnya semua rakyat juga bersama-sama berganding bahu untuk mengawal virus ini daripada terus merebak. Beberapa langkah boleh dilakukan oleh kita semua dalam membantu menyekat penularan penyakit Covid-19 ini dalam persediaan untuk menyambut aidilfitri. Kawal diri supaya tidak asyik mencari barang untuk menyambut aidilfitri sehingga sanggup bersesak-sesak di khalayak ramai.
Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan HIDE untuk membantu masyarakat memilih tempat yang betul-betul selamat, supaya tidak mudah terdedah dengan jangkitan. Maka membeli-belahlah di tempat yang selamat sahaja. Beli hanya barang yang betul-betul penting untuk sambutan aidilfitri. Tidak perlu berlebihan sehingga boleh membazir.
Itulah cara si perantau menyambut aidilfitri. Lebih sederhana dan membeli yang penting sahaja.
Peruntukan masa yang singkat sahaja untuk mencari barang keperluan. Ini boleh dilakukan dengan membuat senarai barang yang dikehendaki dan meyenaraikan tempat yang perlu dikunjungi. Dengan itu, perancangan masa dan arah tuju dapat dilakukan dengan lebih sistematik.
Ini akan mengurangkan sikap mengunjungi ke tempat yang tidak perlu dan membazirkan masa, seterusnya mengelakkan pendedahan kepada virus Covid -19 ini. Semasa berada di tempat awam, pastikan sentiasa menjaga SOP yang sepatutnya sudah menjadi normal baru kepada kita sejak setahun yang lalu. Memakai pelitup muka dan kerap mensanitasi tangan tidak perlu diingatkan lagi, malah kanak-kanak juga sudah terbiasa.
Amalkan penjarakan sosial dan jangan berebut-rebut. Ini yang sering diperhatikan terutama apabila berada di tempat yang sesak. Janganlah disia-siakan usaha yang sudah sekian lama hanya kerana ingin berebut membeli barangan. Dibulan mulia ini, tingkatkan kesabaran dan sifat ini diterjemahkan melalui perbuatan yang tenang dan sabar menunggu giliran.
Sambil itu, walaupun rata-ratanya hanya menyambut Syawal bersama keluarga kecil,
ceriakan ahli keluarga dengan bersama-sama melakukan aktiviti menyambut Syawal. Anak-anak sudah pasti masing-masing berada di rumah. Peluang ini boleh diambil untuk mengajar mereka membuat biskut raya, menganyam ketupat, memasak juadah raya ataupun membersihkan dan menghias rumah bersama-sama.
Sekiranya beraya di kampung, kebiasaannya anak-anak hanya akan bermain dengan telefon pintar dan mengelak untuk melakukan aktiviti-aktiviti sebegini tetapi jika di
rumah sendiri siapa lagi yang boleh diharapkan. Bersikap positif dan manfaatkan masa PKP ini untuk mengajar kemahiran-kemahiran baru di saat beraya sebagai perantau.
Apa yang lebih penting adalah mengejar malam Lailatul Qadr yang kian berakhir. Inilah yang selalunya diabaikan oleh kita jika kita dibenarkan merentas negeri. Malam-malam akhir Ramadan ini kita sibuk menghias rumah, memasak hidangan raya dan mencari baju raya dan kuih raya.
Ada yang berjaga malam namun sedihnya bukan kerana beribadat tetapi kerana membakar lemang dan merebus ketupat. Sedangkan di zaman Rasulullah malam terakhir ini mereka menangis kerana Ramadhan akan pergi. Mereka berjaga malam kerana mahu terus bersama Ramadhan sehingga ke akhirnya.
Ini salah satu hikmah untuk kita. Marilah kita sama-sama mengambil berkat bulan Ramadan ini dengan berdoa bersungguh-sungguh semoga penyakit dan virus Covid-19 ini akan terhapus di seluruh dunia. Insya Allah tahun hadapan kita dapat bertemu ibu dan ayah di kampung halaman. Jika kita terus berdegil untuk merentas negeri siapa tahu mungkin menjadi asbab kita penyebar virus yang boleh mengambil nyawa orang yang kita sayangi.
Oleh: Dr Nusima Mohamed (Pakar Pergigian Prosthodontik) &
Dr Nor Azlina Ismail (Pakar Pergigian Kanak-kanak)
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)