Home Sukan Belia penting untuk masa depan negara – Reezal Merican

Belia penting untuk masa depan negara – Reezal Merican

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

KUALA LUMPUR – Warga belia dan generasi muda Malaysia mempunyai iltizam, kesungguhan, keyakinan dan ketahanan yang cukup tinggi serta luar biasa untuk menjadi tonggak penting kemajuan masa hadapan negara.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, tidak ada dekad yang lebih menguji dan menduga daya tahan, kesungguhan dan pengorbanan belia selain daripada apa yang sedang dilalui pada masa ini.

“Pandemik Covid-19 sememangnya telah memberikan kesan yang cukup besar kepada kelompok belia seperti isu pengangguran, Ketidak padanan peluang pekerjaan, Kebajikan dan keselamatan mereka yang dalam sektor ‘gig ekonomi’ serta ruang dan peluang keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan sempena Sambutan Hari Belia Negara 2021, hari ini.

Menurut Reezal Merican, semua itu berlaku dalam waktu yang sama dan ia adaah permulaan dekad yang sukar.

Bagaimanapun kata beliau, apa yang berlaku itu tidak bererti belia Malaysia akan pantas mengalah.

Justeru, katanya, belia Malaysia akan melalui detik, saat dan dekad sukar ini dengan penuh iltizam dan keyakinan serta Kerisauan, keresahan dan kekhuatiran semasa warga belia akan ditangani sebaiknya melalui pelbagai ikhtiar kerajaan.

“Covid-19 ataupun tidak, cukup ramai belia Malaysia yang mencatatkan kejayaan dan potensi luar biasa.

“Covid-19 tidak sesekali melemahkan kita…belia sebagai frontliners bukan sedikit jumlahnya…Berkorban masa, tenaga dan nyawa untuk Malaysia tercinta.

“Pencapaian cemerlang belia Malaysia dalam bidang pendidikan menjadi kebanggaan kepada negara…sumbangan dan kesungguhan anak muda mencipta nama besar diperingkat serantau dan antarabangsa juga tidak mungkin kita lupakan.

“Pencapaian dan sumbangan anak muda dalam bidang sukan sentiasa mengharumkan nama negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette