Home Nasional SOP Aidilfitri: Polis Cheras buat kejutan di kawasan elit

SOP Aidilfitri: Polis Cheras buat kejutan di kawasan elit

Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Daerah Cheras melakukan rondaan bagi memantau pelaksanaan SOP ziarah Aidilfitri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Alam Damai, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2021.

KUALA LUMPUR – Penduduk kawasan Alam Damai, Cheras hari ini terkejut dengan kehadiran polis yang membuat operasi pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi membendung Covid-19.

Kehadiran pasukan polis bersama pengamal-pengamal media mengejutkan pengawal keselamatan yang menjaga kawasan berkenaan.

Operasi mengejut di kawasan ini membuktikan Polis Diraja Malaysia tidak mengamalkan double standard dalam pemantauan dan tindakan.

Menurut Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, dakwaan yang sering dilemparkan itu sememangnya tidak berasas.

Sebaliknya jelas beliau, semua rakyat di negara ini perlu patuh kepada undang-undang kerana polis memberikan layanan sama rata kepada semua tidak kira siapa.

Mohamed Mokhsein Mohamed Zon

”Operasi pemantauan yang kita buat hari ini di Alam Damai ini bukanlah sesuatu yang baharu, kita pantau semua tempat. Tidak ada istilah golongan kayangan atau sebaliknya. Semua perlu patuh.

“Kita ada beberapa pasukan pematuhan SOP diarahkan untuk melakukan pemantauan di daerah ini termasuk memantau aktiviti kunjung-mengunjung sejak Khamis lalu.

“Pasukan berkenaan melakukan pemeriksaan dan rondaan di kawasan perumahan di sekitar daerah ini dari golongan B40 sehinggalah kumpulan elit di perumahan seperti ini pada setiap masa. Tiada kompromi,” katanya.

Menurut Mohamed Mokhsein, hasil pemeriksaan didapati tiada aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan berkenaan.

Katanya, kawasan perumahan Alam Damai ini sunyi dengan penduduk berada di dalam rumah bersama ahli keluarga masing-masing.

“Anda lihat sendiri, semua buat aktiviti yang dibenarkan sahaja seperti berkebun dalam rumah atau bersenam,” katanya selepas menyertai operasi pemantauan di beberapa lokasi elit serta pusat beli belah dan kawasan tumpuan orang ramai di sekitar Cheras tengah hari tadi.

Anggota polis Ibu Pejabat Daerah Cheras melakukan rondaan bagi memastikan para pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa membeli-belah ketika musim perayaan Aidilfitri di Sunway Vello City, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2021.

Menurut Mohamed Mokhsein, apa yang ditular oleh segelintir netizen dalam media sosial kononnya polis hanya memeriksa kawasan perumahan golongan biasa adalah tidak betul.

“Kita tidak kira darjat, pemantauan serta operasi dan tindakan tegas akan dikenakan tidak kira siapa. Itu memang tidak benar. Apa yang penting ketika ini adalah kita bantu kita, kita perlu menang peperangan Covid-19 ini.

“Jika semua arahan dipatuhi, Insya Allah kita akan berjaya juga kekang pandemik ini daripada terus merebak dengan lebih besar, tanggungjawab ini bukan sahaja polis pikul tetapi kita semua bersama-sama tidak kira darjat, pangkat.” tegasnya. -MalaysiaGazette