JOHOR BAHRU – Keunikan dan kekayaan warisan dan tradisi Johor bakal menjadi tema utama majlis perkahwinan di antara Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan pasangannya, Dennis Muhammad Abdullah pada 14 Ogos ini.
Menurut Tunku Aminah, ini bagi menunaikan hasrat ayahandanya yang mahukan perkahwinan puteri tunggal baginda berlangsung dengan penuh tradisi dan adat istiadat budaya Johor.
Malah Tunku Aminah sendiri memilih untuk berbusana tradisional asli dengan mengenakan Baju Kurung Teluk Belanga di hari pernikahannya nanti.
“Tuanku Sultan pernah menunjukkan gambar perkahwinan ayahandanya (Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail) dan bondanya (Enche’ Besar Kalsom Abdullah) yang diadakan dengan penuh adat istiadat dan tradisi Johor.
“Baginda meminta saya mencontohinya bagi mengekalkan budaya dan tradisi Johor.
“Jika tidak, baginda khuatir keunikan kami sebagai orang Johor akan hilang dan dilupakan buat selama-lamanya,” katanya dalam temubual ekslusif kepada Pejabat Media Diraja (RPO) di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
RPO adalah pejabat media dan komunikasi rasmi Keluarga Diraja Johor.
Tunku Aminah yang dilahirkan pada 8 April 1986, adalah anakanda kedua daripada enam beradik dan satu-satunya puteri Sultan Ibrahim dan Permaisuri Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Istiadat pertunangan akan diadakan pada jam 10 pagi, 14 Ogos ini, di Istana Bukit Serene diikuti istiadat nikah.
Manakala upacara bersanding diadakan pada jam 8 malam, hari sama di Bilik Singgahsana, Istana Besar.
Menurut Tunku Aminah, walaupun menerima sebahagian pendidikan barat di sekolah antarabangsa di Singapura (turut belajar di sekolah kebangsaan untuk beberapa tahun dan mempelajari agama Islam di rumah), beliau bangga untuk mengenakan pakaian tradisional Baju Kurung Teluk Belanga pada hari perkahwinannya.
“Memandangkan ini yang ayahanda dan bonda mahukan, saya tidak mempunyai masalah mengenakan busana tradisional Johor tulen untuk majlis perkahwinan itu nanti,” kata Tun Aminah.
Manakala Dennis Muhamad yang berasal dari Belanda akan mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga.
“Ayahanda mahu dia (Dennis Muhammad) mengenakan dua kerongsang di songkok seperti mana pernah digunakan nenda (Almarhum Sultan Iskandar) pada perkahwinannya.
“Kerongsang ini diberikan kepada Almarhum Sultan Iskandar oleh bondanya Almarhumah Sultanah Aminah,” katanya.
Tunku Aminah berkata, selain alat kebesaran dan tradisi Diraja, perkahwinan itu sendiri akan berlangsung secara sederhana tetapi meriah bersama keluarga dan sahabat.
“Saya mahu ia menjadi satu majlis yang tenang dan meriah…itu yang paling penting. Ia tidak perlu diadakan secara besar-besaran dan penuh kemewahan,” katanya.-MalaysiaGazette