KEPALA BATAS – Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas memberi keceriaan kepada lebih 1,000 penerima meliputi pelbagai kategori termasuk anak yatim menerusi program Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri.
Wakil Pusat Khidmat itu, Muhammad A’fif Osman berkata, tujuan program itu bagi menyantuni golongan yang kurang berkemampuan bagi memberikan kegembiraan bermula awal Ramadan lalu.
Menurut beliau, bekalan barang dapur dan wang tunai telah disumbangkan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
“Seiring dengan misi projek amal ini, program ini dianjurkan bertujuan meringankan beban keluarga yang kurang bernasib sempena Ramadan serta membantu anak-anak yatim yang memerlukan untuk membuat persiapan Aidilfitri.
“Bermula awal Ramadan lalu, kami berjaya mengedarkan barangan dapur dan sedikit wang tunai bagi memberi keceriaan kepada penerima,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Program Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri dianjurkan bersama dengan UMNO Bahagian Kepala Batas.
Muhammad A’fif menambah, program sedemikian akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi membantu penduduk sekitar khususnya dalam menjalani kehidupan harian dalam keadaan dunia sedang dilanda pandemik Covid-19.
Jelas beliau, apatah lagi budaya amalan ziarah-menziarahi digalakkan dalam Islam dalam mengambil tahu dan prihatin masalah yang dihadapi oleh masyarakat
“Satu hakikat yang perlu diakui pada hari ini ialah wabak Covid-19 telah mengubah kehidupan semua orang.
“Sama ada mereka terlibat sebagai pesakit ataupun terkena tempias tidak langsung yang melibatkan masalah kewangan, sebahagiannya pasti terkesan secara emosi. Antaranya mengalami perasaan gelisah dan cemas, tertekan, murung dan mudah panik,” katanya. – MalaysiaGazette