KUALA LUMPUR – Dalam keadaan tidak menentu penularan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sememangnya pendidikan digital menjadi pilihan utama meneruskan proses pembelajaran.
Malah sejak setahun yang lalu, proses pembelajaran dan pengajaran konvensional telah banyak bergantung kepada pembelajaran secara talian yang kini sudah menjadi kebiasaan baharu dalam sistem pembelajaran kita.
Itu antara intipati perutusan sempena Hari Guru yang ke-50 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bertemakan ‘Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu’ hari ini.
Kata Muhyiddin, pendidikan digital menjadi pilihan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran atau PdP untuk memastikan murid-murid menerima pendidikan walaupun sekolah terpaksa di arahkan tutup berikutan keadaan Covid-19 di negara ini.
“Semasa tempoh PKP ini, semua sekolah di seluruh negara telah terpaksa ditutup. Pada waktu itu, kita tiada banyak pilihan. Namun, saya sedar bahawa proses pembelajaran anak-anak tidak boleh terganggu dan perlu diteruskan.
“Sejak lebih setahun yang lalu juga proses pembelajaran dan pengajaran konvensional telah banyak bergantung kepada pembelajaran secara dalam talian yang kini telah menjadi kebiasaan baharu dalam sistem pendidikan kita.
“Pendidikan digital menjadi pilihan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran atau PdP untuk memastikan murid kekal menerima pendidikan walaupun sekolah ditutup.
“Perubahan yang berlaku jelas membuktikan bahawa konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara “four walls of room”. Konsep pembelajaran yang baik mestilah relevan pada setiap masa dan setiap tempat. Dalam suasana norma baharu, penyampaian perkhidmatan secara maya sudah mula meluas khususnya warga pendidik.
“Hari ini, pelantar pembelajaran digital mendominasi kaedah pembelajaran sebagai sokongan pembelajaran sedia ada yang dijalankan dalam bilik darjah. Sejak 15 Jun 2020, KPM telah mengumumkan platform baharu pembelajaran digital untuk guru, pendidik dan murid, iaitu ‘Digital Educational Learning Initiative Malaysia’ atau DELIMa.
“Guru-guru kini mengorak langkah menguasai pelbagai aplikasi digital pendidikan untuk kegunaan PdP secara dalam talian yang membolehkan murid-murid dapat mengikuti kaedah pembelajaran normal baharu,” katanya hari ini.
Sambung beliau dalam agenda pendidikan inklusif ini, kerajaan akan memberikan tumpuan untuk mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan golongan tertentu termasuk murid Orang Asli dan pribumi turut menerima pendidikan seperti murid yang lain.
“Dalam suasana norma baharu, penyampaian perkhidmatan secara maya sudah mula meluas khususnya warga pendidik.
“Biarpun guru berhadapan cabaran melaksanakan PdP secara dalam talian namun ramai dalam kalangan guru berjaya menghasilkan pelbagai bentuk bahan PdP bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.
“Ini suatu proses yang mempunyai ruang penambahbaikan luas dan saya berharap KPMakan terus mendengar cadangan dan input daripada setiap lapisan warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak sendiri demi menambahbaik pendekatan PdP dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Beliau berkata, pelaksanaan pendidikan digital sebagai elemen dalam Pembelajaran Abad ke-21 juga sejajar anjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam melaksanakan e-pembelajaran, iaitu pengajaran berteraskan ICT. -MalaysiaGazette