RAKYAT begitu cemas dengan ancaman Covid-19 yang semakin meningkat secara tiba-tiba, manakala menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, rejim zionis Israel menyerang Masjid Al Aqsa dan membunuh rakyat Palestin yang tidak berdosa.
Isu serangan biadab zionis Israel mengemparkan dunia terutama umat Islam sejagat kerana kezaliman yang tidak berperikemanusian dan peristiwa ini sering berlaku. Ianya berlaku bila ada usaha merampas tanah dan kediaman rakyat Palestin.
Di negara kita, semua pihak terutama umat Islam bersolidariti mengecam dan mengutuk tindakan ganas zionis Israel, manakala kutipan derma mula dilancarkan untuk membantu rakyat Palestin. Tahniah rakyat Malaysia.
Dalam kebangkitan menyuarakan keganasan zionis Israel, jangan pula lupa dan terabai serangan Covid-19 yang semakin mengancam dan angka kematian pula semakin meningkat.
Kita jangan lupa penderitaan rakyat tempatan terutama kaum pribumi di desa-desa serta yang hilang pekerjaan dan perniagaan. Apakah tindakan kerajaan menangani Covid-19 semua pihak berpuas hati? Keadaan ekonomi rakyat makin pulih atau bagaimana status terkini?
Semua pihak jangan terlepas pandang isu-isu penting mengenai penderitaan rakyat akibat ancaman Covid-19 yang wajib didahulukan dalam apa keadaan sekali pun.
Masih ramai yang langgar SOP PKP. Darurat telah diisytiharkan. Parlimen tidak bersidang walaupun Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang untuk bincang ancaman Covid-19 dan menyerahkan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan bagi diadakan sidang Parlimen.
Tidak ada apa-apa perkembangan, manakala keberkesanan menangani Covid-19 dan pemulihan ekonomi rakyat serta negara amat mengecewakan. Jumlah kematian kumulatif akibat Covid-19 setakat ini 1,902 orang dan kematian pada 16 Mei 2021 adalah 36 orang. Apa kesudahannya? Yang dalam ICU bilangannya amat menakutkan. Kematiannya lebih dari peristiwa 13 Mei 1969.
Oleh kerana Parlimen tidak bersidang, manakala Ahli Parlimen serta ADUN tidak berfungsi yang boleh disifatkan makan gaji buta dan jumlah Menteri yang terlalu banyak dan membazir, maka amat wajar mohon ampun perkenan Yang di-Pertuan Agong memanggil Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja untuk memutuskan adakah Perdana Menteri yang ada ini seorang Perdana Menteri yang sah atau sebaliknya.
Jika diputuskan Perdana Menteri yang ada ini adalah Perdana Menteri yang tidak sah, maka Tuanku boleh melantik seorang Perdana Menteri baharu yang dipercayai mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat.
Perdana Menteri baharu boleh mohon sembah perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen dibubarkan dan diserahkan kepada MAGERAN sama seperti Darurat 13 Mei 1969. Darurat mesti dimanfaatkan sepenuhnya.
Darurat 13 Mei 1969 kerana permusuhan kaum yang menyebabkan kematian. Ancaman Covid-19 juga mengakibatkan kematian lebih ramai dari rusuhan 13 Mei itu. Ianya soal nyawa rakyat mesti didahulukan. Inilah tujuan darurat, bukan sebab-sebab kepentingan lain.
Saya yakin rakyat akan bertambah tenang dan kegawatan politik boleh diredakan buat sementara sehingga keadaan pulih seperti pengalaman yang tercetus akibat tragedy 13 Mei. PRU-15 boleh diadakan mungkin selepas MAGERAN menjalankan operasi negara, yang mungkin mengambil masa dalam tempoh dua tahun.
Pasti ianya berjaya apabila tidak ada gangguan dan terlalu politicking dan ada pihak menangguk di air keruh.
Terkini berita mengejutkan yang merupakan ancaman keselamatan negara dari luar. Kerajaan haram Yahudi Zionis Israel telah membuat kenyataan terbuka akan menyerang Hamas di seluruh dunia dan menyebut nama negara Malaysia salah satu sasarannya.
Ini terlalu serius dan rakyat serta pasukan keselamatan sama ada dari polis atau tentera wajib bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Segerakan proses meletakkan pentabbiran negara di bawah pasukan MAGERAN yang berwibawa, berintegriti dan berpengalaman.
Saya menyuarakan pandangan ini sebagai rakyat yang amat prihatin dengan suasana kesihatan, kehidupan rakyat dan ekonomi negara dan juga sebagai Presiden Parti Bumiputra Perkasa (PUTRA).
Menjadi tanggungjawab moral saya untuk bersuara secara telus dan berterus terang tanpa apa-apa kepentingan, tetapi demi kelangsungan agenda negara yang sedang terancam akibat Covid-19 dan kecelaruan politik negara sejak PRU-14 sehingga sekarang serta tidak ada tanda-tanda ke arah keadaan yang positif.
Banyak isu-isu timbul dan tidak perlu huraian kerana ianya cerita duka, sedih dan amat menyakitkan hati.
Mohon ampun perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu yang merupakan paying rakyat dan negara.
Datuk Ibrahim Ali
Presiden Parti Putra Malaysia