TANGGAL 16 Mei setiap tahun merupakan Hari Guru yang disambut oleh rakyat Malaysia. Pada kebiasaannya pelbagai aktiviti dijalankan di sekolah bagi menyambut Hari Guru ini sebagai tanda penghargaan bagi Guru yang telah mengorbankan jiwa dan raga mereka dalam mendidik anak anak muridnya daripada tidak pandai membaca sehingga pandai membaca, menulis dan bercakap. Pelbagai program dijalankan diperingkat sekolah bagi menyambut hari Guru ini. Pelbagai permainan dan persembahan dilakukan di sekolah sekolah bagi mengeratkan lagi hubungan pelajar pelajar dan guru guru. Walau bagaimanapun, sambutan Hari Guru ini tidak dapat disambut disekolah disebabkan oleh PKP dan wabak Covid 19 yang melanda negara kita.
Guru, cikgu, ustaz, ustazah, pensyarah, professor dan semua golongan pendidik adalah adalah insan mulia yang tidak ternilai jasanya. Ilmu yang mereka ajarkan menjadi titik tolak kehidupan anak-anak murid mereka di masa hadapan. Dalam kehidupan moden masa kini, anak-anak sudah dihantar ke ‘play school’ seawal usia 18 bulan sehingga 3 tahun. Walaupun bukanlah pengajaran secara formal, tetapi sedikit sebanyak apa yang diajar oleh tenaga pengajar di sini menjadi pembelajaran awal bagi kanak-kanak tersebut. Apabila meningkat ke usia 4 tahun, kebanyakkan kanak-kanak dihantar untuk prasekolah dengan pengajaran lebih formal walaupun masih diselitkan dengan aktiviti permainan. Apabila sampai usia tadika, kebanyakkan kanak-kanak ini sudah boleh membaca
ataupun paling tidak sudah mengenal huruf dan nombor. Lebih mudah untuk kanak-kanak ini dan para guru mengajar dan menangani mereka semasa memulakan persekolahan darjah 1.
Jika dilihat bagi seorang kanak-kanak hinggalah meningkat remaja dan dewasa, masa mereka lebih banyak dihabiskan bersama guru-guru mereka. Seawal 8 pagi hingga 1 tengahari atau 5 petang mereka ada bersama guru-guru. Pulang ke rumah lewat petang, mereka keletihan dan hanya bertemu ibu bapa 1 atau 2 jam sebelum masuk tidur. Itupun hujung minggu mereka masih perlu bertemu guru-guru mereka untuk kelas tambahan atau kegiatan ko-kurikulum. Pada hari Sabtu petang atau hari Ahad pula, belum tentu pelajar-pelajar ini menghabiskan masa dengan ibu bapa mereka.
Selain daripada pengajaran formal, sikap dan kata-kata guru-guru ini akan menjadi ikutan anak-anak murid mereka. Pengajaran melalui teladan, untuk pelajar yang agak lemah pencapaiannya, mungkin ini sahaja yang mereka dapat semasa berada di sekolah. Contoh peristiwa berkaitan gurauan tentang perbuatan rogol yang dilontarkan oleh seorang guru pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor. Perbuatan ini tidak wajar dan boleh menjadi ikutan terutama pelajar-pelajar nakal dan kurang penghayatan agamanya.
Sehinggakan ada pelajar yang merasakan bahawa sekolah bukanlah tempat yang selamat lagi untuk mereka bahkan ada gerakan yang memanipulasi keadaan dengan menganjurkan kempen ponteng sekolah yang pastinya tidak sihat untuk pelajar-pelajar ini. Mungkin inilah sebabnya ramai ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah tahfiz atau sekolah pondok yang diketahui guru-guru yang baik sahsiah dan pastinya secara amnya akan memberi teladan yang baik kepada anak-anak mereka. Tiada aktiviti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan atas alasan pengajaran yang akhirnya dianggap sebagai norma biasa.
Tiada aktiviti membuka aurat atas alasan bersukan atau kegiatan seni. Tidak dinafikan ada juga guru-guru sekolah pondok atau tahfiz yang dikatakan melakukan perbuatan tidak baik kepada anak murid mereka, namun ini adalah kes terpencil yang berlaku juga di sekolah aliran kebangsaan. Namun begitu, guru-guru dan pendidikan di aliran kebangsaan masih diperlukan dan memainkan peranan besar untuk mendidik dan menjadi teladan anak bangsa kita kerana sebahagian besar anak-anak dan remaja kita berada di aliran ini. Masih ramai diantara mereka, tenaga pengajar di aliran kebangsaan yang mendidik dengan jujur dan amanah demi memastikan pelajar-pelajar mereka mendapat ilmu seterusnya menjadi bangsa maju dan berguna.
Masih ramai guru-guru yang sentiasa akan memastikan tindak tanduk dan akhlak anak-anak didik mereka dalam kerangka ajaran Islam walaupun mereka tidak mengajar pendidikan Islam secara formal walaupun dalam keadaan keterbatasan dengan sistem pendidikan yang ada. Isu Pendidikan seks yang telah diajar secara formal di sekolah-sekolah adalah satu contoh usaha guru-guru untuk menangani masalah seksual yang semakin meruncing di kalangan remaja. Apatah lagi dengan pendedahan gajet-gajet kepada anak-anak ini, menyebabkan pendidikan seks harus diajar dengan betul kepada remaja yang tinggi naluri ingin tahunya.
Tidak kiralah apa jadinya kita sekarang, doktor, jurutera, tukang jahit, pekebun atau suri rumah sekalipun pastinya kita pernah diajar oleh seorang guru sama ada secara formal atau tidak formal. Maka sudah seharusnyalah kita mengingat jasa mereka yang tidak ternilai dalam mendidik dan mengajar kita hingga kita menjadi seperti diri kita sekarang.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT seluruh malaikatNya serta penghuni langit dan bumi, memohon kerahmatan ke atas orang yang mengajar kepada manusia”. Moga Allah SWT merahmati semua golongan pendidik dan memberi kekuatan dan semangat kepada mereka untuk mendidik anak bangsa kerana pahalanya amatlah besar. Amin.
Ms ( Dr ) Afizah Salleh,
Pakar perunding Pembedahan Am
Hospital Pakar Annur.
Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)