LONDON – Pengurus Totenham Hotspur, Mauricio Pochettino menempelak pengurus kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang lain ajar menunjukkan rasa hormat dengan tidak memberi komen mengenai kelabnya.
Sepanjang minggu , pengurus Chelsea, Antonio Conte dan juga Jose Mourinho dari Manchester United, mengeluarkan kenyataan mengenai Spurs.
Selain melahir rasa minat terhadap Kane, Conte berpendapat Spurs adalah sebuah kelab yang tidak mempunyai cita-cita tinggi seperti beberapa kelab besar lain di England.
Mourinho pula menyatakan Spurs melalui jendela musim panas yang hebat kerana hanya melepaskan Kyle Walker setakat ini.
“Saya bukanlah pengurus yang gemar bercakap mengenai kelab atau pengurus lain.”
“Saya memilih untuk menghormati mereka. Sudah tentu saya menjangkakan perkara yang sama dari pengurus, terutama yang bersaing dengan kami,” ujar Pochettino.
Totenham Hotspur belum pernah memenangi kejuaraan Liga Inggeris sejak melakukannya pada 1961. Satu-satunya piala utama yang dibawa balik ke White Hart Lane adalah Piala Liga pada 2008.
Pada musim panas ini, mereka masih belum membawa masuk sebarang pemain.
Pesaing mereka seperti Chelsea, Manchester United dan Manchester City masing-masing telah membelanjakan angka melebihi £100 juta untuk pemain baharu.
“Untuk kelab yang telah berbelanja besar kali ini, sudah tentu jangkaannya juga tinggi. Untuk kami ia tetap sama. Kami punyai cabaran dan cita-cita kami sendiri.” – MalaysiaGazette